Sri Ayu Kartika Amri


"KAMI sentiasa akur dengan setiap prosedur operasi standard (SOP) yang diberi oleh kerajaan dan akan mematuhinya.

"Ini kerana paling utama sekarang adalah keselamatan bukan sahaja kanak-kanak yang dijaga, tetapi semua pihak," kata Presiden Persatuan Taska Kuala Lumpur (PTKL), Husen Mohd Yusof Khan.

Husen Mohd berkata, sebelum ini pihak taska sudah menerima SOP bagi membuka semula perkhidmatan di mana beberapa taska sudah memulakan operasi mereka.

Bagaimanapun, katanya, pihaknya bersedia untuk mengikuti tambahan kemas kini SOP baharu selain membuat persediaan lebih awal sebelum beroperasi tidak lama lagi.

"Kami tidak begitu risau mengenai SOP sebab tiada masalah untuk mematuhinya walaupun terdapat sedikit penambahan kos, tetapi virus ini (Covid-19) lebih dibimbangi kerana perniagaan kami membabitkan penjagaan kanak-kanak daripada usia bayi.

"Namun, melihat kepada trend kes yang menurun sekarang, kami berharap semoga rantaian Covid-19 ini dapat diputuskan segera.

"Ini kerana ramai pengusaha taska yang terpaksa menutup operasi mereka kerana tidak dapat menampung kos seperti sewa dan upah pekerja," katanya.

Katanya, SOP baharu yang dikemas kini itu akan diketahui selepas dibawa dalam mesyuarat pada 6 Jun ini.

Sehingga kini, katanya terdapat lebih 200 pengusaha taska di sekitar Kuala Lumpur di mana terdapat sebanyak 88 taksa berdaftar dengan PTKL.

"Tarikh untuk beroperasi memang tak ditentukan, tetapi mana-mana pengusaha yang sudah bersedia termasuk tenaga pengajar yang sudah membuat saringan, boleh memulakan operasi.

"Keputusan memulakan operasi bergantung antara perbincangan pihak taska dengan ibu bapa, namun taska yang diutamakan untuk dibuka adalah taska yang berada di hospital dan tempat kerja," katanya.

Sementara itu, katanya, pihaknya berharap kerajaan turut memandang dan memberi bantuan kepada pengusaha taska yang terpaksa menutup perniagaan mereka.

"Ramai pengusaha taska sudah berputus asa dan mengambil keputusan menutup terus operasi mereka.

"Bagi saya perkhidmatan taska ini juga ada saling hubung kait dan perlu dibantu kerana ia membabitkan pendidikan awal kanak-kanak.

"Kami juga berharap mendapat bantuan daripada kerajaan dari segi kos sanitasi apabila memulakan operasi," katanya.

TASKA Si Comel Perbadanan Putrajaya hanya dihadiri enam kanak-kanak, hari ini berbanding 62 orang sebelum ini. FOTO Luqman Hakim Zubir.
TASKA Si Comel Perbadanan Putrajaya hanya dihadiri enam kanak-kanak, hari ini berbanding 62 orang sebelum ini. FOTO Luqman Hakim Zubir.

  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan
  • Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 3 Jun 2020 @ 3:15 PM