PASAR Bisik Kuala Muda, Penaga lengang selepas diarah tutup selama tujuh hari. FOTO Nur Izzati Mohamad
PASAR Bisik Kuala Muda, Penaga lengang selepas diarah tutup selama tujuh hari. FOTO Nur Izzati Mohamad
Nur Izzati Mohamad


Nelayan Pasar Bisik Kuala Muda Penaga akur pada arahan penutupan apabila tidak menjalankan operasi di dalam premis itu seperti yang ditetapkan Jabatan Kesihatan Negeri Pulau Pinang (JKNPP).

Tinjauan di pasar itu mendapati suasana lengang dan aktiviti penjualan hanya dilakukan di tepi persisiran pantai namun masih dalam keadaan terkawal tanpa dikunjungi ramai.

Bahkan, pasukan Polis Diraja Malaysia (PDRM) juga turun ke lokasi bagi memantau sekiranya terdapat aktiviti pencerobohan di pasar itu.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara, Asisten Komisioner Noorzainy Mohd Noor, berkata polis akan sentiasa mengadakan pemantauan dari semasa ke semasa supaya keadaan terkawal dan orang awam patuh pada pelaksanaan SOP.

"Melalui pemantauan didapati semua patuh pada arahan diberikan dan aktiviti penjualan ikan di persisir pantai juga berada dalam keadaan terkawal.

"Polis percaya pihak nelayan kini sedang merancang dan merangka strategi yang sesuai dalam memastikan pasar bisik ini mengikut prosedur operasi standard (SOP) yang dikehendaki," katanya ketika mengadakan pemantauan di pasar itu, hari ini.

Sementara itu, Pengerusi Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) Kuala Muda, Yahya Ismail, berkata pihaknya kini sedang mencari penyelesaian yang bersesuaian dalam memastikan semua nelayan, peraih dan pelanggan mematuhi SOP.

"Antara usaha yang diambil ialah dengan mewujudkan kawalan keluar masuk di antara peraih dan pelanggan ke dalam premis iaitu seramai 28 orang secara bergilir membabitkan 14 peraih dan 14 pelanggan dalam satu-satu masa.

"Dengan pengawalan itu ia diharap dapat mengurangkan kemasukan orang ramai ke dalam premis memandangkan keluasan pasar ini terhad untuk menerima pelanggan yang ramai.

"Selain itu, persatuan akan membuat saringan suhu kepada pekerja dan pelanggan termasuk sistem penyimpanan rekod nama serta menyediakan garisan penjarakan sosial satu meter dalam premis untuk memastikan penjarakan sosial dipatuhi," katanya.

Jelasnya, pihak persatuan nelayan akan menyediakan dan mempamerkan notis kepada pelanggan berkaitan polisi premis yang ditetapkan selain menyediakan pensanitasi tangan.

Semalam, JKNPP mengarahkan pasar itu ditutup selama tujuh hari bermula 3 petang kerana gagal mematuhi SOP semasa tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).

Berita berkaitan

Pasar Bisik diarah tutup

  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan
  • Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 2 Jun 2020 @ 4:46 PM