PENGUATKUASA Jabatan Kesihatan Negeri Pulau Pinang (JKNPP) mengadakan operasi pematuhan di Pasar Bisik Kuala Muda, Penaga sebelum mengeluarkan notis penutupan selama tujuh hari. FOTO Nur Izzati Mohamad
PENGUATKUASA Jabatan Kesihatan Negeri Pulau Pinang (JKNPP) mengadakan operasi pematuhan di Pasar Bisik Kuala Muda, Penaga sebelum mengeluarkan notis penutupan selama tujuh hari. FOTO Nur Izzati Mohamad
Nur Izzati Mohamad


NELAYAN diarah menghentikan operasi penjualan ikan di Pasar Bisik Kuala Muda, Penaga, di Kepala Batas selama tujuh hari, berkuatkuasa esok.

Penutupan itu diarahkan berikutan kegagalan mereka mematuhi prosedur operasi standard (SOP) walaupun sudah berkali-kali Jabatan Kesihatan Negeri Pulau Pinang (JKNPP) memberi teguran dan amaran sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dikuatkuasakan.

Pegawai Kesihatan Persekitaran Bahagian Keselamatan dan Kualiti Makanan JKNPP, Mohd Wazir Khalid berkata, hampir setiap hari penguatkuasa JKNPP mengadakan operasi pematuhan di pasar itu namun malangnya tetap berlaku perkara sama.

"Setiap kali datang mengadakan pemeriksaan perkara sama yang pihak kami nasihat, tegur dan beri amaran tetapi mereka tetap berdegil dengan tidak mengendahkan SOP.

"Ketika kami datang mereka ikut SOP, bila penguatkuasa kami pulang, terus berlaku perkara sama yang mana akhirnya kami terpaksa menutup bagi memberi kesedaran kepada semua pihak," katanya ketika ditemui mengadakan operasi di Kepala Batas, hari ini.

Katanya, antara SOP yang tidak dipatuhi adalah kurang pengambilan bacaan suhu, tidak menyediakan cecair pembasmi kuman, tidak melekatkan pita bagi menentukan penjarakan sosial dan kurang pengawalan kemasukan pengunjung ketika urusan jual beli hingga menyebabkan berlaku kesesakan.

Mohd Wazir berkata, nelayan harus patuh pada arahan penutupan premis itu dan sekiranya ingkar, tangkapan akan dilakukan.

Dalam pada itu, berlaku ketegangan dan protes apabila nelayan di pasar berkenaan meluahkan kekecewaan tindakan penutupan yang dilaksanakan JKNPP yang didakwa menyekat mata pencarian mereka namun keadaan dapat dikawal pihak berkuasa.

Sementara itu, Pengerusi Unit Nelayan Pasar Bisik Kuala Muda Penaga, Ariffin Mat, 54, berkata, beliau sendiri tidak menyangka pihak berkuasa akan mengambil tindakan seumpama itu kerana sudah mengingatkan nelayan supaya mematuhi SOP yang ditetapkan Kementerian Kesihatan (KKM) dan Majlis Keselamatan Negara (MKN).

"Saya selalu ingatkan mereka supaya patuh pada SOP tetapi memandangkan keluasan pasar ini agak terhad ia memberi kesukaran pihak nelayan untuk kawal keadaan.

"Penutupan ini mengejutkan dan memberi kesan kepada nelayan namun akur dengan arahan diberikan yang mana saya akan menyusun semula kaedah terbaik supaya dapat mematuhi SOP ditetapkan," katanya.

Penutupan pasar bisik itu dibuat mengikut Sub Seksyen 18(1) (f) Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988.

  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan
  • Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 1 Jun 2020 @ 2:08 PM