KEADAAN air sungai dan longkang menjadi biru akibat pelepasan bahan pewarna daripada kilang terbabit. FOTO IHSAN PEMBACA
KEADAAN air sungai dan longkang menjadi biru akibat pelepasan bahan pewarna daripada kilang terbabit. FOTO IHSAN PEMBACA
Essa Abu Yamin


JABATAN Alam Sekitar (JAS) menahan operasi sebuah kilang percetakan baju di Taman Industri Wawasan, Tanjung Laboh, Batu Pahat, Jumaat lalu kerana melepaskan efluen kilang ke parit awam.

Kementerian Alam Sekitar dan Air dalam kenyataan media hari ini berkata, JAS Negeri Johor mengambil tindakan penahanan operasi kilang berkenaan yang menjalankan kerja percetakan baju secara manual menggunakan cat pelbagai warna sebagai bahan mentah.

"Tindakan siasatan dijalankan berdasarkan aduan orang awam dan penduduk kampung ke atas premis yang memiliki lesen daripada Majlis Perbandaran Batu Pahat (MPBP) itu.

"Siasatan dijalankan mendapat kerjasama daripada wakil penduduk kampung dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) serta Angkatan Tentera Malaysia (ATM) yang menjalankan rondaan di kawasan terbabit," katanya.

Menurutnya, JAS Cawangan Batu Pahat menjalankan siasatan dengan menyusuri parit berdekatan dan mendapati terdapat kesan cat berwarna biru di longkang belakang kilang berkenaan.

"Pemeriksaan lanjut mendapati ada aktiviti dikilang terbabit yang berpotensi boleh menyebabkan pelepasan air berwarna iaitu aktiviti cucian papan cetak dan cuci tangan pekerja yang terus dialirkan ke longkang.

"JAS mengambil tindakan Penahanan Operasi Kelengkapan penstoran cat yang digunakan sebagai bahan utama dalam kerja percetakan berkenaan.

"Kilang itu dikenakan kompaun bagi kesalahan Pengurusan Buangan Terjadual serta notis arahan juga dikeluarkan untuk tindakan pembaikan serta memastikan tiada sebarang pelepasan efluen tanpa dirawat sebelum dilepaskan ke longkang atau parit awam," katanya.

Sementara itu, pemantauan susulan yang dijalankan semalam di sungai terbabit mendapati keadaan sungai sudah kembali pulih dan tiada lagi kesan pencemaran.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 31 Mei 2020 @ 7:39 PM