HAMZAH memegang buku Perlembagaan Parti Bersatu selepas sidang media di Ibu Pejabat Bersatu di Menara Yayasan Selangor, Petaling Jaya. FOTO Asyraf Hamzah
HAMZAH memegang buku Perlembagaan Parti Bersatu selepas sidang media di Ibu Pejabat Bersatu di Menara Yayasan Selangor, Petaling Jaya. FOTO Asyraf Hamzah
Yusmizal Dollah Aling dan Muhaamad Hafis Nawawi


SETIAUSAHA Agung Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Datuk Seri Hamzah Zainuddin sekali lagi mengulangi Tun Dr Mahathir Mohamad bersama empat lagi pemimpin Bersatu tidak dipecat tetapi keahliannya terhenti, selepas melakukan tindakan yang bertentangan dengan parti.

Hamzah berkata, ini adalah berlandaskan perlembagaan parti kerana kepentingan parti adalah lebih utama dari mana-mana individu.

Menurutnya, tiada sesiapa mengatasi undang-undang apabila parti mempunyai perlembagaannya sendiri.

"Perkara ini bukan hanya dinyatakan dalam surat permohonan mereka sendiri tetapi juga dizahirkan dengan duduk di blok yang tidak menyokong kerajaan semasa sidang parlimen.

"Mengikut perlembagaan parti, keahlian seseorang ahli terhenti secara serta-merta apabila berlaku mana-mana yang berikut iaitu fasal 10.2.2 mengisytiharkan keluar daripada parti dan Fasal 10.2.3 menyertai atau menjadi ahli mana-mana parti politik lain di negara ini," katanya kepada pemberita pada sidang media di Ibu Pejabat Bersatu, hari ini.

Beliau berkata, susulan daripada itu, satu surat dikeluarkan kepada tiap-tiap seorang daripada mereka sebagai notis pemberitahuan kedudukan keahlian mereka yang terhenti secara serta merta mengikut Fasal 10.2.2 dan 10.2.3.

"Banyak aduan yang diterima mengenai salah laku mereka, antara lain adalah seperti Dr Mahathir mengumumkan untuk masih bersama-sama dengan Pakatan Harapan sebaik sahaja Kerajaan Perikatan Nasional dibentuk di bawah kepimpinan Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

"Dr Mahathir pada 4 Mei juga membuat kenyataan bersama dengan ketua-ketua parti Pakatan Harapan mendesak supaya Sidang Parlimen dilanjutkan dan mengemukakan undi tidak percaya kepada Perdana Menteri," katanya.

Beliau berkata, Dr Mahathir pada 18 Mei juga mengadakan sidang media di Yayasan Kepimpinan Perdana, Putrajaya bersama beberapa pemimpin Pakatan Harapan dengan membuat pengumuman untuk terus berusaha menjatuhkan Muhyiddin sebagai Perdana Menteri.

"Dalam hal ini, Tan Sri Megat Najimuddin sebagai Pengerusi Lembaga Disiplin memaklumkan kepada saya sebagai Setiausaha Agung bahawa perkara di atas tidak lagi relevan untuk dibawa ke Lembaga Disiplin apabila kedudukan keahlian mereka terhenti mengikut Fasal 10.2.2 dan 10.2.3," katanya.

Berita berkaitan

'Saya hanya jalankan tugas, bukan memandai-mandai' - Muhammad Suhaimi

Tun M nak pecat Muhyiddin

'Dia tak ada hak pecat saya' - Tun M

Nak pecat, saya tunggu di pejabat - Tun M

Pemecatan Dr Maszlee tak ikut perlembagaan parti

Muhammad Suhaimi pula dipecat

Saya berserah - Syed Saddiq

'Dangkal, tidak munasabah'

'Digugurkan keahlian, bukan dipecat'

Tun M dipecat dari Bersatu

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 29 Mei 2020 @ 6:54 PM