Mohd Rafi Mamat


TERPEDAYA dengan habuan lumayan oleh rakan lelaki yang baru dikenali 10 bulan lalu, membuatkan seseorang pelajar menggunakan semua wang simpanan ibunya sebanyak RM86,270 untuk dilaburkan dalam pelaburan emas tidak wujud.

Tindakan mangsa berusia 23 tahun itu menyebabkan dia pasrah apabila wang yang dilaburkan sebanyak itu lebur dalam sekelip mata.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Negeri, Superintendan Mohd Wazir Mohd Yusof berkata, kejadian bermula apabila lelaki yang dikenali sebagai Syed Omar meminta mangsa untuk melabur dalam pelaburan emas daripada Bank Negera pada 2 Mei lalu.

Menurutnya, mangsa pada mulanya enggan melabur namun selepas dipujuk dan dimaklumkan bahawa wang terbabit akan dipulangkan semula membuatkan dia tertarik dan bersetuju.

"Mangsa kemudian membuat pemindahan wang sebanyak RM86,270 dari akaun ibunya secara berperingkat pada 3 hingga 23 Mei lalu ke dalam akaun atas nama lelaki yang tidak dikenali itu.

"Wang yang dimasukkan adalah bayaran modal pelaburan dan bayaran denda kelewatan bayaran modal," katanya dalam kenyataan hari ini.

Mohd Wazir berkata, sehingga kini, suspek masih mendesak untuk pengadu membayar dan berikutan itu mangsa merasakan dirinya tertipu.

Katanya, mangsa yang merasakan dirinya tertipu tampil membuat laporan Ibu Pejabat Polis Daerah Kuantan (IPD) semalam.

Dalam pada itu, Mohd Wazir menjelaskan modus operandi yang digunakan suspek ialah dengan menawarkan pelaburan emas yang tidak wujud sehingga mendorong mangsa masukkan wang ke dalam akaun suspek.

"Kes ini disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu.

"Masyarakat diingatkan supaya lebih berhati-hati dan tidak mudah terpengaruh dengan tawaran yang dianggap terlalu menarik dari segi keuntungan, mereka boleh merujuk pada pihak berkuasa sebelum berbuat sesuatu," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 29 Mei 2020 @ 10:30 AM