FOTO HIASAN
FOTO HIASAN
Oleh Melvin Joni


WANITA berumur 25 hingga 65 tahun kerap menjadi mangsa sindiket penipuan dan sebahagian besar daripada laporan penipuan yang direkodkan di daerah ini sejak 1 Januari hingga 27 Mei lalu membabitkan golongan berkenaan.

Ketua Polis Daerah Padawan Superintendan Aidil Bolhassan berkata, jumlah kerugian akibat penipuan itu pula ialah kira-kira RM15 juta.

"Bahagian Siasatan Jenayah Komersil, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Padawan merekodkan, kes tertinggi dilaporkan berkaitan Macau Scam, pembelian dalam talian dan pinjaman tidak wujud.

"Taktik sindiket atau suspek bermula dengan membuat tawaran melalui aplikasi WhatsApp atau Facebook dengan menawarkan bantuan untuk menyelamatkan mangsa daripada tindakan mahkamah, mengambil barangan dan pinjaman peribadi," katanya hari ini.

Menurut Aidil, sindiket meminta mangsa membuat bayaran secara serahan tunai, deposit atau pindahan dalam talian sebelum menghilangkan diri.

"Masyarakat perlu peka dengan kes seperti ini. Hubungi balai polis berhampiran jika menerima panggilan telefon daripada pihak seperti ini atau letak telefon," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 28 Mei 2020 @ 6:40 PM