Shamran Sarahan dan Amir Abd Hamid


HAMPIR sebulan kerajaan melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) sejak 4 Mei lalu, hanya 22.7 peratus iaitu 270 kes jangkitan Covid-19 membabitkan rakyat tempatan.

Manakala 77.3 peratus pula membabitkan kes bukan warga negara iaitu 919 kes termasuk 383 kes warga asing di tiga Depoh Tahanan Imigresen (DTI).

Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata, sejak bermulanya PKPB didapati trend penularan Covid-19 dalam kalangan masyarakat setempat semakin berkurangan.

"Ini tidak mungkin dicapai tanpa kerjasama, kepatuhan orang ramai terhadap nasihat, saranan dan prosedur operasi standard (SOP) kerajaan, serta aktiviti penguatkuasaan pelbagai agensi kerajaan.

"Justeru, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mengucapkan syabas dan terima kasih kepada pelbagai industri dan orang ramai kerana sudi memikul beban bersama kerajaan demi kepentingan komuniti dan negara.

"Keseluruhannya, hampir sebulan penguatkuasaan PKPB di negara kita, didapati jumlah kes positif Covid-19 dari 4 Mei 2020 sehingga 27 Mei 2020 adalah 1,189 kes," katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media harian perkembangan terkini Covid-19 di Putrajaya hari ini.

Dr Noor Hisham berkata, PKPB adalah satu inisiatif kerajaan dalam membuka semula ekonomi negara secara berhati-hati dan terkawal.

"Di samping itu SOP dalam pelaksanaan PKPB bagi memastikan langkah pencegahan dan membendung penularan Covid-19 diberi keutamaan.

"Keputusan ini diambil selepas perbincangan dan pertimbangan pelbagai aspek terutamanya kesihatan, keselamatan dan kualiti hidup orang ramai," katanya.

Susulan itu, beliau berkata, KKM bersama Majlis Keselamatan Negara (MKN) membangunkan pelbagai SOP bagi implementasi kaedah yang menyokong norma dan kelaziman baharu.

Sehingga kini, katanya, kerajaan sudah meluluskan pelbagai SOP untuk dilaksanakan oleh pelbagai industri dan orang ramai dalam kehidupan seharian.

"Ini termasuk upacara keagamaan dan sambutan perayaan. Kerajaan berusaha keras memastikan pematuhan orang ramai terhadap SOP ini agar jumlah kes Covid-19 adalah terkawal.

"Pada masa yang sama industri serta aktiviti yang dibenarkan oleh kerajaan, dapat dijalankan dengan terkawal," katanya.

Dr Noor Hisham menegaskan sekiranya usaha diteruskan semua dengan sikap dan rasa tanggungjawab sosial, pastinya dapat bersama-sama memutuskan rantaian penularan virus

Covid-19 di Malaysia.

  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan

  • Lagi berita berkaitan Covid-19


  • Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 28 Mei 2020 @ 6:02 PM