Tindakan pantas dua anggota  bomba wanita menyelamatkan seekor anjing liar terperangkap dalam balang plastik. FOTO IHSAN BOMBA GENTING HIGHLANDS
Tindakan pantas dua anggota bomba wanita menyelamatkan seekor anjing liar terperangkap dalam balang plastik. FOTO IHSAN BOMBA GENTING HIGHLANDS
Roselan Ab Malek

ANJING liar yang hampir mati selepas kepalanya tersangkut pada balang plastik hingga menyebabkannya sukar bernafas diselamatkan dua anggota bomba wanita di Batu Berayun di sini Genting Highlands dekat Bentong.

Tindakan anggota bomba dalam kejadian pada 25 Mei lalu mendapat pujaan orang ramai selepas ia tular di media sosial.

Kisah itu dikongsi di Facebook (FB) dan mendapat perhatian netizen yang memuji keprihatinan anggota bomba berkenaan kerana jasa dan bakti pasukan bomba amat besar memandangkan mereka bukanlah berkhidmat hanya kepada manusia semata-mata tetapi turut membantu haiwan termasuklah seekor anjing.

Dua anggota Balai Bomba dna Penyelamat (BBP) Genting Highlands, Lovely Bastik, 27, dan Norasyikin Mohd Zamri, 23, itu berjaya menyelamatkan anjing berkenaan di lereng bukit setinggi 100 meter di kawasan Batu Berayun.

"Saya berasa kasihan melihat seekor anjing itu terbaring lesu sambil kepalanya terperangkap dalam bekas plastik di kawasan berbukit berkenaan.

"Saya amat sayangkan binatang dan tanpa berfikir panjang terus turun ke lereng bukit bersama Lovely yang juga rakan baiknya untuk menyelamatkan anjing itu, " kata Norasyikin.

Dia yang berasal dari Papar, Sabah itu berkata, walaupun kali pertama dia dan rakannya menyelamat anjing tetapi mereka tidak gusar dan menganggapnya sebagai cabaran dalam kerjaya.

Rakannya, Lovely pula berkata, mereka terpaksa menuruni tebing curam bagi mengambil anjing berkenaan.

Menurutnya, anjing berkenaan sudah berada dalam keadaan lemah kerana sukar bernafas itu dan ia dibawa naik ke tebing di tepi jalan jalan sebelum ditanggalkan bekas plastik terbabit.

Katanya, walaupun mereka baru tiga bulan bertugas di Balai Bomba dan Penyelamat Genting Highlands tetapi sebagai anggota bomba kami tetap sentiasa bersiap sedia," katanya yang berasal dari Kinarut, Sabah.

Sementara itu, Ketua BBP Genting Highlands Yusry Abdullah Sani berkata, pihak bomba menerima panggilan pada 7.30 malam daripada orang awam yang memaklumkan kejadian itu.

"Dua anggota wanita terbabit kemudiaannya diminta ke lokasi yang menjalankan tugas menyelamat.

"Mereka berjaya membawa anjing tersebut ke tempat selamat dan seterusnya mengeluarkan bekas plastik yang tersangkut pada anjing tersebut dan menamatkan operasi pada 8.17 malam," katanya hari ini.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 28 Mei 2020 @ 4:30 PM