PAPAGOMO (kiri) dan Syed Saddiq. FOTO Arkib NSTP
PAPAGOMO (kiri) dan Syed Saddiq. FOTO Arkib NSTP
BERNAMA

PERBICARAAN kes mengaibkan dan mencederakan Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman akan bersambung pada 4 hingga 6 Ogos depan di Mahkamah Majistret Kajang.

Timbalan Pendakwa Raya Muhammad Hairuliqram Hairuddin ketika dihubungi berkata perbicaraan itu sepatutnya bersambung 31 Mac lalu tetapi ditangguhkan berikutan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

"Lima lagi saksi dijangka memberi keterangan di hadapan Majistret Muhammad Noor Firdaus Rosli," katanya.

Syed Saddiq, 28, adalah saksi ketiga selesai memberi keterangan pada 30 Januari lalu pada perbicaraan kes Papagomo, 37, atau nama sebenarnya Wan Muhammad Azri Wan Deris.

Exco Pemuda UMNO itu menghadapi pertuduhan mengaibkan kehormatan Syed Saddiq dengan menyebut perkataan "kau bodoh" di tepi jalan Persiaran Impian Perdana, Saujana Impian, Kajang pada 11.05 pagi, 16 Februari tahun lalu.

Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 509 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum lima tahun atau denda atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.

Dia juga dituduh dengan sengaja mendatangkan kecederaan terhadap Ketua Armada Bersatu itu di bahagian leher dan bahu, di tempat, masa dan tarikh sama mengikut Seksyen 323 kanun sama yang membawa hukuman penjara maksimum setahun atau denda sehingga RM2,000 atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 27 Mei 2020 @ 4:33 PM