ANTARA jemaah tabligh Masjid Sri Petaling yang menjalani saringan Covid-19 pada 5 April lalu. FOTO arkib NSTP
ANTARA jemaah tabligh Masjid Sri Petaling yang menjalani saringan Covid-19 pada 5 April lalu. FOTO arkib NSTP
Shamran Sarahan dan Amir Abd Hamid dan Muhaamad Hafis Nawawi


SERAMAI 3,037 atau 90.14 peratus kes membabitkan kluster perhimpunan Masjid Sri Petaling sudah sembuh sepenuhnya daripada jangkitan Covid-19.

Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata, kluster yang sudah membabitkan jangkitan lima generasi itu merekodkan 3,369 bilangan kes positif atau 8.18 peratus daripada 41,207 bilangan sampel yang diambil dan diuji.

Mengulas lanjut, katanya, pecahan lima generasi bagi kes dikesan positif ialah yang hadir perhimpunan atau kes indeks adalah seramai 1,037 orang bersamaan 30.77 peratus.

"Generasi pertama membabitkan 1,143 positif atau 33.93 peratus. Generasi kedua membabitkan 921 positif atau 27.34 peratus.

"Generasi ketiga membabitkan 230 positif atau 6.83 peratus. Generasi keempat membabitkan 26 positif atau 0.77 peratus.

"Generasi kelima membabitkan 12 positif atau 0.36 peratus," katanya dalam sidang media harian perkembangan terkini Covid-19 di Putrajaya, hari ini.

Beliau berkata, bagi kluster perhimpunan Masjid Sri Petaling itu kes yang masih aktif ialah 299 bersamaan 8.88 peratus manakala 33 kematian direkodkan atau 0.98 peratus.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19


  • Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 26 Mei 2020 @ 8:09 PM