Isma Ismail dan Ekhwan Haque Fazlul Haque

SERAMAI 14 individu yang berada di kampung masing-masing dikenakan kompaun kerana tidak patuh prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) semalam.

Menteri Kanan (Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, akhirnya sudah terbukti tindakan tegas yang diambil oleh pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Menurutnya, pihaknya sudah nyatakan tindakan serius akan diambil terhadap individu yang berada di kampung kerana melakukan rentas negeri tanpa kebenaran.

"Ia sudah terbukti, kalau saya kata ia serius ramai yang ambil ringan dan pastinya PDRM akan ambil tindakan keras terhadap mereka cuba rentas negeri tanpa kebenaran,

"Mereka ini dikesan melakukan rentas negeri pulang ke kampung masing-masing dan balik melepasi sekatan jalan raya (SJR) atau melalui jalan 'tikus'...kita tetap akan cari," katanya ketika sidang media hariannya di Putrajaya hari ini.

Menurutnya, PDRM juga mengeluarkan sebanyak 214 kompaun terhadap individu ketika melalui SJR rentas sempadan negeri.

Katanya, sebanyak 162 SJR rentas sempadan negeri dilakukan oleh pihak polis dan 127,552 kenderaan diperiksa semalam.

"Daripada jumlah itu, sebanyak 1,243 kenderaan dikesan rentas negeri dan diarahkan berpatah balik.

"Selangor mencatatkan jumlah tertinggi dengan 685 kes cuba rentas, diikuti Negeri Sembilan (133 kes) dan Pahang sebanyak 72 kes," katanya.

Anggota polis dan tentera ketika menjalankan tugas di SJR di Plaza Tol Duta, Kuala Lumpur semalam. Foto Aswadi Alias
Anggota polis dan tentera ketika menjalankan tugas di SJR di Plaza Tol Duta, Kuala Lumpur semalam. Foto Aswadi Alias

  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan
  • Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 25 Mei 2020 @ 2:38 PM