Zaid Salim


HAMPIR 200 orang mengunjungi kawasan Pantai Miami, Seberang Takir, Kuala Nerus untuk tujuan rekreasi dan bersantai diarah meninggalkan kawasan itu kerana melanggar Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB), hari ini.

Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu, Abdul Rahim Mat Din berkata, orang ramai diingatkan agar tidak berada dalam kelompok ramai bagi mengelak penularan wabak Covid-19 dan terikat dengan PKPB.

Beliau berkata, pihaknya tidak teragak-agak mengeluarkan kompaun kepada orang ramai yang degil dan sengaja mengingkari perintah berkenaan.

"Setakat ini, polis masih menggunakan pendekatan nasihat dan amaran secara lisan, namun jika orang ramai terus berdegil dan ingkar dengan PKPB, polis tidak teragak-agak akan mengeluarkan kompaun terhadap mereka.

"Seramai 12 anggota Unit Ronda Bermotosikal (URB) dan Kereta Peronda Polis (MPV) sentiasa melakukan rondaan secara berkala di kawasan tumpuan awam seperti kawasan pantai dan taman rekreasi sepanjang Aidilfitri hingga tamat PKPB bagi memastikan orang ramai mematuhi Prosedur Operasi Standard (SOP) PKPB," katanya ketika dihubungi hari ini.

ANGGOTA polis dan RELA menasihati orang ramai bersantai di Pantai Miami, Seberang Takir, hari ini. FOTO GHAZALI KORI
ANGGOTA polis dan RELA menasihati orang ramai bersantai di Pantai Miami, Seberang Takir, hari ini. FOTO GHAZALI KORI

Abdul Rahim berkata, pihaknya turut menjalankan rondaan di kawasan taman perumahan dan kampung bagi memastikan orang ramai mematuhi SOP PKPB ketika menyambut Aidilfitri.

Tinjauan Harian Metro di kawasan Pantai Miami pada 5 petang hari ini mendapati deretan lebih 100 kereta diparkir di sepanjang laluan pantai berkenaan hingga ke Pantai Teluk Ketapang sejauh lebih dua kilometer.

Malah, orang ramai yang membabitkan pelbagai peringkat usia termasuk kanak-kanak dan bayi berada di kawasan berkenaan tanpa rasa bimbang terhadap penularan wabak Covid-19.

Tinjauan mendapati orang ramai langsung tidak mematuhi SOP PKPB apabila sebilangan besar tidak memakai pelitup muka dan penjarakan sosial.

  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan
  • Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 24 Mei 2020 @ 10:43 PM