ABU Bakar Ja melihat rumahnya di Kampung Muara Tebas yang musnah dalam kebakaran. FOTO Mohd Roji Kawi
ABU Bakar Ja melihat rumahnya di Kampung Muara Tebas yang musnah dalam kebakaran. FOTO Mohd Roji Kawi
Mohd Roji Kawi


KETIKA jiran sekampung melaungkan takbir raya di rumah masing-masing, Abu Bakar Ja hanya mampu merenung rumahnya di Kampung Muara Tebas, Kuching, yang musnah dalam kebakaran, semalam.

Nelayan berusia 63 tahun itu sepatutnya mengimamkan keluarganya bersolat sunat Aidilfitri di rumah mereka pagi ini, namun impian itu musnah dilanda musibah sehari menjelang perayaan.

Abu Bakar berkata, Aidilfitri kali ini seakan tiada makna bagi mereka sekeluarga, namun mereka reda dan percaya ada hikmah sebalik sesuatu kejadian.

"Walaupun raya tahun ini tidak seperti tahun-tahun sebelum ini apabila ia disambut ketika kita dalam Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB), tetapi anak-anak saya ada membuat sedikit persiapan.

"Namun semuanya musnah sekelip mata dan kami tinggal sehelai sepinggang menjelang hari raya," katanya dengan nada pilu.

Dalam kejadian kira-kira 4 pagi semalam, kediaman yang dihuni Abu Bakar dan isteri Sophiah Beli, 62, serta tujuh yang lain termasuk anak, menantu dan cucu musnah sama sekali akibat kebakaran yang dipercayai bermula dari kawasan tengah rumah.

Abu Bakar berkata, api marak dengan cepat dan mengejutkan ahli keluarganya yang sedang lena tidur.

"Kami hanya sempat menyelamatkan diri tanpa sempat mencapai apa-apa termasuk dokumen penting.

"Sedikit wang simpanan saya untuk menyambut perayaan pun musnah semunya, malah dua enjin bot yang menjadi nadi saya mencari rezeki turut musnah," katanya.

Akibat kejadian itu, mereka sekeluarga kini menumpang di rumah saudara berdekatan.

"Kami beraya dengan apa yang ada saja termasuk menumpang makan juadah yang disediakan sanak-saudara," katanya.

Katanya lagi, beliau berhasrat membina semula rumah di tapak sama.

"Saya membina rumah hasil rezeki sebagai nelayan dan saya tetap akan membina semula rumah baru di sini, jika ada rezeki," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 24 Mei 2020 @ 12:35 PM