ANGGOTA polis membuat pemeriksaan kenderaan di sekatan jalanraya (SJR) Plaza Tol Sungai Besi. FOTO Aizuddin Saad
ANGGOTA polis membuat pemeriksaan kenderaan di sekatan jalanraya (SJR) Plaza Tol Sungai Besi. FOTO Aizuddin Saad
Raja Noraina Raja Rahim


KEMENTERIAN Kesihatan Malaysia (KKM) mendedahkan tiga kluster jangkitan Covid-19 di negara ini mempunyai kaitan dengan kluster rentas negeri.

KKM menerusi kenyataan di Facebook rasminya hari ini memaklumkan tiga kluster terbabit adalah kluster pesakit dalam siasatan (PUI) Bali, Pengerang dan Rembau.

"Kluster ke-14 yang diisytiharkan tamat hari ini (semalam) iaitu PUI Bali adalah contoh bagaimana perjalanan rentas negeri menyebarkan jangkitan Covid-19 tanpa disedari individu yang membawa virus itu.

"Kes bermula apabila seorang individu dari Tumpat, Kelantan yang mempunyai sejarah perjalanan ke Bali mengadakan kontak rapat dengan abangnya di Kuantan. Abangnya dimasukkan ke hospital swasta kerana masalah pernafasan dan menjangkiti pesakit lain serta petugas kesihatan.

"Seramai 43 orang dijangkiti dan menyebabkan empat kematian," katanya.

Menurut kenyataan itu, dua lagi kluster berkait rentas negeri ialah kluster Pengerang dan Rembau.

"Kes kluster Pengerang, kes indeks (pesakit positif asal) yang mulanya disyaki denggi merentas negeri untuk ke Selangor dan menjangkiti individu lain dan menular melalui aktiviti kunjung-mengunjung.

"Kluster Rembau membabitkan seorang peserta perhimpunan di Masjid Seri Petaling yang hadir ke mesyuarat di sebuah sekolah di Pedas. Jangkitan kemudian menular apabila ada yang menziarahi individu dijangkiti Covid-19 itu," katanya.

KKM berkata, atas sebab itu, kerajaan melarang perjalanan rentas negeri kecuali mendapat kebenaran Polis Diraja Malaysia (PDRM) atas faktor kerja dan kecemasan.

Begitu juga aktiviti ziarah di Aidilfitri kerana ada yang mungkin membawa virus dan menjangkiti sanak-saudara sekali gus mengancam nyawa terutama warga emas serta kanak-kanak.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19


  • Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 23 Mei 2020 @ 2:01 PM