KERAJAAN PN akan sentiasa menjunjung titah Tuanku yang berkehendakkan keutamaan diberikan kepada kesejahteraan rakyat jelata. FOTO BERNAMA
KERAJAAN PN akan sentiasa menjunjung titah Tuanku yang berkehendakkan keutamaan diberikan kepada kesejahteraan rakyat jelata. FOTO BERNAMA
Yusmizal Dolah Aling


TITAH Seri Paduka Baginda Yang Di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri,ayatuddin Al Mustaffa Billah Shah menjadi bukti jelas keabsahan kerajaan Perikatan Nasional (PN) yang dibentuk berasaskan peruntukan Perlembagaan Persekutuan serta prinsip Raja Berperlembagaan dan Demokrasi Berparlimen yang diamalkan di negara ini.

Dalam satu kenyataan bersama, pimpinan PN dan Gabungan Parti Sarawak turut merafak sembah menjunjung kasih atas Titah Diraja Seri Paduka pada istiadat pembukaan persidangan Dewan Rakyat dan Dewan Negara, kelmarin.

Katanya, titah Tuanku juga memberikan dorongan semangat dan kekuatan kepada kerajaan PN untuk terus berkhidmat kepada rakyat.

"Paling penting untuk kerajaan ialah melaksanakan amanah bagi memastikan kebajikan rakyat sentiasa dipelihara.

"Sebagai kerajaan Ke Bawah Duli Tuanku, kerajaan PN akan sentiasa menjunjung titah Tuanku yang berkehendakkan keutamaan diberikan kepada kesejahteraan rakyat jelata.

"Kami berdoa semoga rakyat dan negara ini terus aman, makmur dan sejahtera di bawah naungan Tuanku," kata kenyataan itu.

Seri Paduka bertitah, Tan Sri Muhyiddin Yassin layak dilantik sebagai Perdana Menteri kerana mendapat kepercayaan majoriti Ahli Dewan Rakyat.

Baginda juga bertitah bahawa sudah menggalas amanah dengan telus dan seadil-adilnya dalam urusan pelantikan Perdana Menteri kelapan itu, selaras dengan konsep Raja Berperlembagaan dan demokrasi berparlimen yang menjadi tunjang amalan negara.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 20 Mei 2020 @ 6:26 PM