FOTO HIASAN
FOTO HIASAN
Omar Ahmad


ORANG ramai diminta mengatur jadual bagi membuat urusan di kaunter Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) negeri ini.

Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Pengangkutan dan Infrastruktur Mohd Solihan Badri berkata, ia bagi mengelak kesesakan di satu kawasan tumpuan selain mengundang kegusaran dari segi keselamatan dan kepatuhan terhadap pelaksanaan norma baru.

Katanya, sejak perkhidmatan kaunter JPJ dibuka kepada orang ramai pada 16 Mei, kebanyakan kaunter JPJ berdepan kesesakan yang tinggi.

"Selepas dua hari dibuka, kaunter JPJ berterusan mengalami kesesakan yang tinggi. Orang ramai terpaksa beratur panjang bagi mendapatkan perkhidmatan sehingga ke jalan raya kerana mematuhi penjarakan sosial di semua kaunter.

"Saya berharap orang ramai yang memerlukan khidmat JPJ bertenang dan merancang jadual supaya tidak terperangkap dengan kesesakan di kaunter yang tentunya mengundang

ketidakselesaan dan isu keselamatan kesihatan apabila bertumpu beramai-ramai di satu tempat.

"Kerajaan negeri ingin memaklumkan bahawa orang ramai tidak perlu membaharui lesen memandu dan cukai jalan kenderaan.

"Ia hanya memadai dengan membaharui insurans kenderaan saja sepanjang tempoh PKP dikuatkuasakan dan

kelonggaran ini terpakai sehingga dimaklumkan kelak," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Jelas Mohd Solihan, norma baru yang telah diperkenalkan perlu menjadi amalan bagi memerangi penularan wabak ini.

"Antaranya adalah penjarakan sosial di tempat awam. Pendekatan yang boleh kita ambil adalah dengan menggunakan perkhidmatan sistem atas talian e (MyEG) lebih digalakkan berbanding beratur di kaunter JPJ yang sesak," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 19 Mei 2020 @ 3:21 PM