ROSOL. Foto Arkib NSTP
ROSOL. Foto Arkib NSTP
Yusmizal Dolah Aling


PILIH kedai atau pasar yang tawarkan harga murah. Itu nasihat Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP), Datuk Rosol Wahid yang melihat tidak ada kewajaran memboikot pembelian ayam memandangkan ia bukan kesalahan semua peniaga.

Sebaliknya, Rosol berkata, pengguna ada pilihan untuk membeli ayam pada harga yang murah dan sesuai dengan bajet mereka, termasuk di pasar raya.

Katanya, anggapan bahawa ayam di pasar lebih segar dan murah berbanding pasar raya adalah salah dan perlu diperbetulkan.

"Saya baru balik dari Perlis semalam dan mendapati ayam dijual di pasar berbeza dengan pasar raya.

"Harga di pasar raya juga murah, tidak sampai RM9 sekilogram dan ayamnya pun segar," katanya kepada Harian Metro.

Rosol berkata, pegawai dan anggota penguat kuasa kementeriannya membuat pemantauan di seluruh negara bagi memastikan tiada peniaga mengaut untung dengan menaikkan harga sesuka hati.

"Nasihat saya, pengguna pilihlah di mana mereka boleh dapatkan bekalan murah. Memang ada, saya sendiri sudah periksa," katanya.

Beliau mengulas gesaan beberapa pertubuhan bukan kerajaan yang mencadangkan kempen memboikot pembelian ayam bagi memberi pengajaran kepada industri susulan kenaikan harga mendadak bekalan itu.

Terdahulu Harian Metro melaporkan Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) dan Gabungan Persatuan-Persatuan Pengguna Malaysia (Fomca) tidak menolak kemungkinan kempen boikot perlu diadakan sebagai salah satu jalan penyelesaian kepada isu kenaikan harga ayam yang diperkatakan sejak kebelakangan ini.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 19 Mei 2020 @ 12:01 AM