Shamran Sarahan dan Amir Abd Hamid dan Sri Ayu Kartika Amri


DARIPADA jumlah keseluruhan kes positif Covid-19 di Malaysia sebanyak 6,941 kes sehingga hari ini, sebanyak 961 kes membabitkan warga emas yang berumur 60 tahun ke atas iaitu 13.8 peratus.

Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata, kanak-kanak yang positif virus itu berumur 12 tahun ke bawah pula merangkumi 318 orang atau 4.6 peratus.

Mengulas lanjut, katanya, jika dilihat dari segi faktor komorbiditi, setakat semalam didapati 10.8 peratus iaitu 744 kes daripada keseluruhan kes positif Covid-19 adalah penghidap penyakit kronik.

"Penyakit kronik itu misalnya penyakit kencing manis, darah tinggi, penyakit buah pinggang, penyakit jantung dan lain-lain penyakit.

"Kumpulan-kumpulan berisiko tinggi ini perlu dilindungi. Lindungilah sempadan negara, negeri, daerah, rumah dan juga keluarga kita.

"Pada masa sama pergerakan merentas negeri setiap hari didapati masih ramai iaitu sebanyak 2,931 kenderaan yang cuba merentas negeri dalam masa tiga hari ini yang ingin pulang ke kampung untuk menyambut perayaan Aidilfitri bersama keluarga. Ini amat merisaukan," katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media harian perkembangan terkini Covid-19 di Putrajaya, hari ini.

Lebih membimbangkan, katanya, jumlah cubaan merentas negeri itu ditambah dengan penuntut institusi pengajian tinggi yang sudah pulang ke pangkuan keluarga masing-masing.

"Ahli keluarga mereka ini yang mungkin terdiri daripada kumpulan berisiko tinggi misalnya warga emas, kanak-kanak serta golongan rendah imuniti disebabkan pelbagai penyakit kronik atau komorbiditi lain.

"Setelah dua bulan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) fasa pertama sehingga keempat dan disusuli Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) ini, kita dapat melihat trend jumlah kes aktif Covid-19 semakin menurun.

"Pencapaian ini adalah hasil kepatuhan orang ramai terhadap prosedur operasi standard ditetapkan di bawah pelaksanaan PKP dan PKPB," katanya.

Justeru, Dr Noor Hisham berkata, kepatuhan itu perlu terus kekal terutama pada musim perayaan yang bakal menjelang tiba.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 18 Mei 2020 @ 5:40 PM