Nur Izzati Mohamad


KESULITAN hidup empat beranak yang tinggal di rumah sewa sejak 10 tahun lalu berakhir apabila mula menduduki kediaman baharu sumbangan Zakat Pulau Pinang (ZPP) menjelang Aidilfitri tidak lama lagi.

Ketua keluarga Muhazir Mohammad Zainol, 46, berkata dia membuat permohonan untuk mendapatkan bantuan rumah terbabit pada 2017 sebelum diluluskan pada tahun lalu.

Katanya, dia yang bekerja sebagai nelayan hanya mencuba nasib untuk memberi kehidupan lebih selesa kepada isteri Yunidati Saidi, 37 serta dua anak perempuan mereka berusia tiga dan 12 tahun.

"Semasa memohon saya tidak berfikir sama ada akan dapat bantuan ruah ini kerana hanya mahu mencuba sahaja, tetapi siapa sangka ia adalah rezeki untuk kami sekeluarga.

"Paling bermakna, selepas 10 tahun menyewa, kami sekeluarga dapat beraya di dalam rumah baharu ini," katanya.

Muhazir bersama isterinya Yunidati, mengemas rumah yang baru duduki hasil pemberian Zakat Pulau Pinang (ZPP) di Kampung Bakar Kapor, Penaga. FOTO DANIAL SAAD
Muhazir bersama isterinya Yunidati, mengemas rumah yang baru duduki hasil pemberian Zakat Pulau Pinang (ZPP) di Kampung Bakar Kapor, Penaga. FOTO DANIAL SAAD

Muhazir berkata demikian selepas menerima replika kunci daripada Yang Dipertua Majlis Agama Islam Negeri Pulau Pinang (MAINPP), Datuk Ir Ahmad Zakiyuddin Abdul Rahman di Kampung 20, Penaga di Kepala Batas, hari ini.

Selain Muhazir, empat keluarga lain turut menerima bantuan rumah dengan kos keseluruhan bernilai RM287,579.30.

Katanya, dia kini dapat menggunakan wang RM200 untuk membayar sewa rumah sebelum ini bagi menampung keperluan keluarga.

"Saya nak sangat berpindah (ke rumah lain) kerana bumbung rumah sewa bocor dan keadaannya kurang selesa.

"Alhamdulillah, syukur sangat dengan rezeki yang tidak disangka-sangka ini," katanya.

Sementara itu, Ahmad Zakiyuddin berkata, ZPP merancang membina 40 unit rumah untuk diberikan kepada asnaf yang memerlukan pada tahun ini.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 18 Mei 2020 @ 3:49 PM