Peniaga ayam sedang menyusun ayam yang dijual di tapak perniagaan Pasar Ayam Amanjaya Ipoh. FOTO BALQIS JAZIMAH ZAHARI
Peniaga ayam sedang menyusun ayam yang dijual di tapak perniagaan Pasar Ayam Amanjaya Ipoh. FOTO BALQIS JAZIMAH ZAHARI
Balqis Jazimah Zahari


HARGA ayam yang dijual di kebanyakan pasar di Bandaraya Ipoh didapati melambung tinggi sejak dua minggu lalu.

Tinjauan wartawan Harian Metro di Pasar Ayam Amanjaya mendapati harga ayam yang dijual mencecah sehingga RM8.80 sekilogram.

Peniaga ayam, Ros Hassan, 57, berkata mereka tidak mempunyai pilihan dan terpaksa meletakkan harga tinggi mengikut harga pembekal yang memang meningkat.

Menurutnya, harga ayam melambung tinggi dan berubah selang sehari dalam tempoh dua minggu ini.

"Bermula daripada harga borong iaitu RM4.70 sekilogram sehinggalah kini meningkat kepada RM7.30 sekilogram.

"Apabila harga yang diperolehi daripada pembekal tinggi, maka kita terpaksa kita menjual RM8.80 satu kilogram bagi ayam standard," katanya ketika ditemui di pasar berkenaan, hari ini.

Peniaga lain Mohd Syafiq Mohd Jamil, 24, pula berkata, harga ayam dijangka akan melambung lebih tinggi ketika semakin menghampiri musim perayaan

"Harga memang meningkat dalam dua minggu ini, ayam standard daripada RM8 sekilogram meningkat kepada RM8.80 sekilogram.

"Bagaimanapun, harga ayam kampung masih sama iaitu RM16 sekilogram, begitu juga dengan ayam pencen RM9 sekilogram," katanya

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 17 Mei 2020 @ 3:29 PM