FAUZI Sharif (kiri) melakukan pemantauan harga ayam di Pasar Besar Alor Setar yang meningkat sejak seminggu lalu. FOTO ZULIATY ZULKIFFLI
FAUZI Sharif (kiri) melakukan pemantauan harga ayam di Pasar Besar Alor Setar yang meningkat sejak seminggu lalu. FOTO ZULIATY ZULKIFFLI
Zuliaty Zulkiffli


HARGA ayam di Kedah meningkat sejak seminggu lalu apabila peniaga terpaksa menaikkan harga ayam antara RM8 ke RM9.50 sekilogram.

Tinjauan di Pasar Besar Alor Setar mendapati, kenaikan mendadak itu berlaku berikutan modal yang dikeluarkan peniaga tinggi selepas pembekal memaklumkan kekurangan bekalan ayam disebabkan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Mohd Zuhair Zahir, 36, berkata, dia sebenarnya hendak membantu pelanggan menjual ayam pada harga berpatutan, namun tidak dapat berbuat demikian kerana harga dijual daripada pembekal sentiasa meningkat sejak beberapa minggu lalu.

Dia yang berniaga ayam sejak 12 tahun lalu berkata, biasanya modal yang dikeluarkan sekitar RM4 untuk sekilogram ayam tetapi kali ini mereka terpaksa keluarkan RM8 sekilogram, naik dua kali ganda.

"Disebabkan itu kami terpaksa menaikkan harga ayam ini, jika tidak kami akan menanggung kerugian lebih besar apatah lagi keuntungan yang diperoleh juga sangat kecil berbanding sebelum PKP.

"Selepas ditolak dengan bayaran gaji pekerja dan kos lain, berapa sahaja yang boleh dapat untuk menyara keluarga," katanya ketika ditemui, hari ini.

Mohd Zuhair berkata, sebelum PKP fasa pertama, ayam dijual antara RM5 hingga RM6 sekilo tetapi apabila masuk awal Mei ini, harga sudah mula meningkat.

Pengerusi Peniaga Pasar Besar, Fauzi Sharif, setiap hari dia bersama peniaga lain bertanyakan kepada pembekal dan mereka kerap mendapat alasan sama bahawa berlaku kekurangan bekalan menyebabkan harga ayam terpaksa dinaikkan.

Katanya, masalah ini menyebabkan pelanggan menganggap peniaga mengambil kesempatan dengan menaikkan harga ayam sesuka hati menyebabkan pelanggan lari kerana ayam yang dijual terlalu mahal.

"Harga ayam naik mendadak yang mana pada minggu pertama bulan puasa harganya murah namun pada minggu ketiga harga ayam meningkat RM7.90.

"Ketika saya membuat pemantauan di pasar ini, semua peniaga ayam memberi jawapan sama iaitu bekalan yang berkurangan daripada penternak," katanya.

Berikutan itu, Fauzi meminta pihak berkaitan melakukan pemeriksaan terhadap pembekal ayam dan menyiasat alasan sama adakah benar atau tidak ketiadaan bekalan yang dimaksudkan.

Sementara itu, seorang pelanggan, Ahmad Khairil Mazwan, 40, berkata, dia berharap harga ayam kembali stabil berikutan Aidilfitri bakal disambut minggu depan.

Katanya, kenaikan ini menyebabkan pelanggan terbeban terutama bagi mereka yang tidak bekerja sejak pandemik Covid-19.

Sementara itu, Ketua Pegawai Penguatkuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Kedah, Omar Ismail ketika dihubungi berkata, setakat ini harga ayam masih belum ditetapkan harga siling.

Bagaimanapun, KPDNHEP ada melakukan pemantauan di peringkat peruncit dan pemborong serta penternak ayam di sekitar negeri ini.

  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan
  • Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 16 Mei 2020 @ 2:51 PM