FOTO HIASAN
FOTO HIASAN
Noor Atiqah Sulaiman


PENGARAH dan Timbalan Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) di semua negeri dibekukan cuti untuk tiga sambutan perayaan utama di negara ini bagi membantu melaksanakan Ops Perayaan dan Ops Gerakan Covid-19 yang diadakan oleh jabatan berkenaan.

Ketua Pengarahnya, Datuk Mohammad Hamdan Wahid berkata, secara keseluruhannya hanya 20 peratus daripada 15,000 pegawai dan anggotanya dibenarkan bercuti.

Katanya, bagaimanapun sekiranya terdapat keperluan mendesak, pihaknya akan menambah kakitangannya serta menyusun kembali struktur operasi.

"Seramai 12,000 anggota dan pegawai akan bekerja 24 jam secara syif, sekiranya ada keperluan untuk memanggil kembali anggota yang bercuti, kita akan lakukan.

"Bukan sahaja anggota dibekukan cuti, kini Pengarah dan Timbalan Pengarah Negeri juga tidak dibenarkan mengambil cuti dan perlu bekerja kerana sekarang kerajaan tidak membenarkan sebarang aktiviti rentas negeri untuk berhari raya dan atas sebab itu mereka perlu hadir bertugas," katanya kepada pemberita dalam satu temubual khas, di Putrajaya, hari ini.

Mohammad Hamdan berkata, pembekuan cuti berkenaan akan bermula seminggu sebelum dan selepas perayaan berkenaan.

Tiga perayaan utama yang akan disambut oleh rakyat di negara ini ialah Aidilfitri, Sambutan Hari Kaamatan dan Hari Gawai.

Sementara itu, katanya, dia menasihatkan orang ramai untuk menjaga keselamatan terutamanya penggunaan elektrik ketika musim perayaan.

"Banyak aktiviti akan dilakukan ketika musim perayaan seperti memasak dan membuat kuih, hal itu sudah tentu banyak menggunakan gas dan peralatan elektrik.

"JBPM minta supaya orang ramai tidak memberikan lebihan bebanan bekalan elektrik, sebagai contoh satu plug menggunakan sehingga lima soket dalam satu masa.

"Bagi mereka yang berada di kawasan kampung, selalunya akan adakan pertandingan pencahayaan bagi memeriahkan sambutan perayaan. Kita minta supaya mereka berhati hati dan tidak leka bagi mengelakkan berlaku perkara yang tidak diingini termasuk kebakaran," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 15 Mei 2020 @ 1:40 PM