MERBIN semasa menjalankan pemantauan pematuhan SOP PKPB di pusat-pusat beli belah sekitar Kuching. FOTO Melvin Joni
MERBIN semasa menjalankan pemantauan pematuhan SOP PKPB di pusat-pusat beli belah sekitar Kuching. FOTO Melvin Joni
Melvin Joni

IBU Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuching menubuhkan 12 pasukan pemantau bagi menjalankan pemantauan di tempat-tempat tumpuan orang ramai seperti pusat beli belah dan kedai makan.

Inisiatif itu bagi memastikan setiap premis yang beroperasi termasuk pengunjung mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).

Menurut Timbalan Ketua Polis Daerah Kuching Superintendan Merbin Lisa, setiap pasukan pemantau diketuai seorang pegawai kanan dan dianggotai sehingga tujuh anggota terdiri daripada Polis Diraja Malaysia (PDRM), Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Angkatan Pertahanan Awam (APM), Jabatan Sukarelawan Rakyat (RELA) dan pihak berkuasa tempatan (PBT).

"Mereka bertugas setiap hari terutama pada waktu puncak sehingga tengah malam.

"Selain pemantauan, mereka juga berperanan menasihati peniaga dan pengunjung berkaitan pematuhan penjarakan sosial, penggunaan pelitup muka dan cecair pembasmi kuman," katanya.

Beliau berkata demikian selepas mengetuai Pasukan Pemantauan Pematuhan PKPB (Ops Covid-19) menjalankan pemantauan di beberapa pusat beli belah di sekitar bandar raya Kuching, hari ini.

Merbin berkata, pengurusan pusat beli belah amnya juga harus kerap membuat pengumuman kepada pengunjung tentang pentingnya menjarakkan diri dan memakai pelitup muka semasa membeli belah.

Pada masa sama, beliau mengingatkan setiap peniaga dalam pusat beli belah agar sentiasa mengehadkan kemasukan pelanggan masing-masing mengikut giliran serta menyediakan penyukat suhu badan dan cecair pembasmi kuman yang mencukupi untuk kegunaan pelanggan.

Sementara itu, berkaitan lawatan pemantauannya ke pusat-pusat beli belah seperti Viva City, The Spring, Kuching Sentral dan Saradise, Merbin berkata ia bagi melihat sendiri persiapan, pelaksanaan serta kepatuhan premis-premis berkenaan kepada arahan SOP PKPB.

"Pemantauan mendapati pusat-pusat beli belah dan pengunjung mematuhi SOP digariskan," katanya.

  • Lagi berita berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan
  • Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 14 Mei 2020 @ 2:57 PM