KAKITANGAN Pejabat Hutan Daerah (PHD) Temerloh dan Bera bersama kayu bergergaji yang ditemui dalam Hutan Simpan Chini. FOTO Mohd Rafi Mamat
KAKITANGAN Pejabat Hutan Daerah (PHD) Temerloh dan Bera bersama kayu bergergaji yang ditemui dalam Hutan Simpan Chini. FOTO Mohd Rafi Mamat
Mohd Rafi Mamat


PEJABAT Hutan Daerah (PHD) Temerloh dan Bera mematahkan cubaan memindahkan 61 kayu bergergaji pelbagai saiz bernilai lebih RM16,600 di Komparment 78 Hutan Simpan Chini, Temerloh, kelmarin.

Pegawai PHD Temerloh dan Bera Azmi Abdul Rahman berkata, kegiatan berjaya dikesan ketika pihaknya membuat rondaan secara berjadual di Hutan Simpan Chini berhampiran kawasan Bukit Bertangga, Felda Kumai.

Katanya, pemeriksaan di kawasan terbabit menemui tiga tunggul balak jenis meranti tembaga, keruing dan balau yang ditebang individu tidak bertanggungjawab.

"Kami percaya kegiatan itu dilakukan sejak seminggu lalu. Malah, mereka menjadikan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan Ramadan sebagai peluang terbaik untuk melakukan kegiatan itu.

"Ia dipercayai dilakukan antara tiga hingga empat individu tempatan yang mahir dalam kawasan Hutan Simpan Chini, mereka juga menggunakan jalan ladang sawit untuk masuk dan memindahkan kayu," katanya di sini, hari ini.

Azmi berkata, kegiatan itu dipercayai hanya mengambil masa antara satu hingga dua minggu sahaja bagi mengelak dikesan pihak berkuasa.

KAKITANGAN Pejabat Hutan Daerah (PHD) Temerloh dan Bera mengukur balak spesis Meranti Tembaga yang di tebang secara haram dalam Hutan Simpan Chini. FOTO Mohd Rafi Mamat
KAKITANGAN Pejabat Hutan Daerah (PHD) Temerloh dan Bera mengukur balak spesis Meranti Tembaga yang di tebang secara haram dalam Hutan Simpan Chini. FOTO Mohd Rafi Mamat

"Mereka juga berkemahiran tinggi dan menggunakan mesin gergaji berantai untuk menebang pokok serta membelahnya, sekali gus menghasilkan kayu bergergaji berkualiti dan mampu dijual dengan harga tinggi," katanya.

Azmi berkata, kumpulan berkenaan hanya memilih beberapa spesis kayu tertentu sahaja mengikut permintaan.

"Selain menghasilkan papan dan kayu mereka turut membuat tiang pagar menggunakan pokok spesis keras.

"Saya difahamkan selain untuk dijual ada juga dalam kalangan mereka menggunanya sendiri," katanya.

Katanya, individu yang menceroboh hutan simpan dan mengambil hasil hutan akan didakwa mengikut Akta Perhutanan Negara 1984, sabit kesalahan boleh didenda dan penjara.

  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan
  • Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 14 Mei 2020 @ 2:03 PM