NOOR HISHAM ABDULLAH
NOOR HISHAM ABDULLAH
Shamran Sarahan dan Amir Abd Hamid dan Sri Ayu Kartika Amri


PELAKSANAAN Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) fasa satu hingga empat bukan sahaja menyaksikan kejayaan Malaysia mendatarkan graf penularan Covid-19, malah menurunkan kes daripada tiga ke dua angka.

Ketua Pengarah Kesihatan Malaysia, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata, negara membuktikan ia berjaya dilakukan dan seterusnya pelaksanaan PKP Bersyarat (PKPB) turut diperkenalkan bagi menyeimbangkan ekonomi.

"Hakikatnya memang banyak negara yang risau akan terjadi gelombang kedua Covid-19, namun usaha serta inisiatif dijalankan negara kita diharap dapat terus menurunkan graf ini.

"Apabila PKPB diperkenalkan pada 4 Mei lalu, ia masih PKP cuma hanya dilonggarkan dengan menggunapakai enam kriteria utama.

"Kita mengetatkan kawalan sempadan negara dan bagi rakyat Malaysia yang pulang ke tanah air, kita akan kuarantin selama 14 hari dan disaring," katanya pada sidang media di Putrajaya, hari ini.

Menurutnya, dengan memantau kumulatif kes positif dan kebolehjangkitan yang membabitkan 1,410 kes setakat ini, pihaknya dapat membendung penularan dan memutuskan rantaian jangkitan.

"Fasiliti kesihatan kita juga dimanfaatkan sebaik mungkin yang mana pesakit di unit rawatan rapi (ICU) semakin berkurangan.

"Inisiatif dan pencegahan sangat penting disebabkan itu kita dapat melihat pengurangan kes di hospital.

"Jika orang awam dapat mengikut garis panduan dan prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan, saya yakin kita mampu turunkan kes Covid-19 dan putuskan rantaian jangkitan.

"Tanggungjawab ini bukan hanya terletak di bahu kementerian, tetapi setiap individu untuk memastikan gelombang kedua tidak terjadi," katanya.

  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan
  • Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 12 Mei 2020 @ 7:03 PM