BEKALAN Ayam siap dipotong. FOTO arkib NSTP
BEKALAN Ayam siap dipotong. FOTO arkib NSTP
Sri Ayu Kartika Amri


TESCO Malaysia komited memastikan bekalan ayam mentah di rangkaiannya mencukupi melalui pembekal lain.

Jurucakap Tesco Malaysia berkata, pihaknya sudah dimaklumkan berhubung penutupan kilang pemprosesan ayam di Pedas, Negeri Sembilan, susulan penularan Covid-19.

"Sebaik diberitahu oleh pembekal kami, kami serta-merta menghentikan pengambilan dari kilang mereka di Pedas Linggi sehingga diberitahu kelak.

"Kami juga terus mencari bekalan ayam daripada pembekal kami yang lain bagi memastikan stok tetap tersedia untuk pelanggan di semua cawangan sepanjang Ramadan ini dan Hari Raya yang akan menjelang tak lama lagi," katanya kepada Harian Metro susulan Laporan Kes Positif Covid-19 Pekerja di Loji Pemprosesan Ayam, Pedas Negeri Sembilan yang dikeluarkan Jabatan Perkhidmatan Veterinar, Sabtu lalu.

Kilang yang terjejas itu membekalkan ayam di beberapa pasar raya besar di negara ini, termasuk Tesco Malaysia.

Jurucakap Tesco Malaysia itu juga mengesahkan bahawa tiada kontak rapat antara kakitangannya dan pekerja kilang itu sepanjang perintah kawalan pergerakan (PKP).

"Bagaimanapun, kami akan terus mengawasi kesihatan kakitangan dan akan mendapatkan panduan selanjutnya daripada Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mengenai perkara ini.

"Keutamaan kami adalah untuk menjaga kesihatan dan keselamatan rakan sekerja dan pelanggan dengan memastikan bahawa semua langkah jarak sosial berlaku di seluruh rantaian bekalan kami," katanya.

Minggu lalu, Ketua Pengarah Kesihatan, Dr Noor Hisham Abdullah berkata, 60 kes positif membabitkan tujuh rakyat Malaysia dan 53 warga asing dikesan di kilang itu.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 11 Mei 2020 @ 1:23 PM