YANG di-Pertua Agong. FOTO Ihsan Istana Negara
YANG di-Pertua Agong. FOTO Ihsan Istana Negara
BERNAMA

YANG di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Raja Permaisuri Agong Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah menzahirkan ucapan takziah kepada keluarga pendakwah terkenal, Datuk Ismail Kamus.

Menzahirkan rasa sedih dengan pemergian Allahyarham, Seri Paduka berdua turut berharap seluruh keluarga bersabar dan tabah menghadapi dugaan dan suasana pilu itu.

"Jasa, khidmat serta bakti Allahyarham sebagai pendakwah dan pengasas Penasihat Pusat Rawatan Islam Darussalam Malaysia amat dihargai Seri Paduka Baginda berdua," demikian menurut hantaran di akaun rasmi Instagram Istana Negara hari ini.

Al-Sultan Abdullah dan Tunku Azizah turut mendoakan roh Allahyarham dirahmati Allah SWT dan ditempatkan bersama para solihin.

Allahyarham yang meninggal dunia di kediamannya di Ampang, di sini, kira-kira jam 12.30 tengah malam tadi selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam AU4 Lembah Keramat, di sini, pada jam 11 pagi.

Allahyarham berusia 72 tahun sebelum ini dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU), Hospital Kuala Lumpur akibat serangan jantung dan strok ringan serta jangkitan kuman di paru-paru.

Allahyarham yang juga bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Gombak Setia selama sepenggal dari 1999 hingga 2004, pernah memegang jawatan sebagai Ahli Jawatankuasa PAS Pusat. – Bernama

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 8 Mei 2020 @ 2:17 PM