FOTO HIASAN
FOTO HIASAN
Sri Ayu Kartika Amri


JUMLAH penganggur di negara ini terus meningkat kepada 610,500 orang bagi Mac 2020 berbanding 521,300 tempoh sama tahun lalu dipengaruhi oleh impak negatif Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) ke atas pasaran buruh.

Ketua Perangkawan Malaysia Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin berkata, kadar pengangguran pada Mac 2020 meningkat kepada 3.9 peratus, tertinggi sejak Jun 2010 (3.6 peratus).

Katanya, bilangan tenaga buruh pada Mac 2020 turun 0.2 peratus kepada 15.84 juta orang berbanding Februari 2020.

"Penduduk bekerja pada Mac 2020 ialah 15.23 juta orang, daripada jumlah itu, sebanyak 2.81 juta orang adalah bekerja sendiri seperti peniaga atau pengusaha kecil-kecilan dan seumpamanya.

"Mereka ini terdedah kepada risiko pengangguran dan kehilangan pekerjaan yang boleh menjejaskan pendapatan semasa tempoh PKP.

"Ini kerana sebahagiannya tidak dapat bekerja dan mengusahakan perniagaan mereka," katanya pada siaran langsung di Facebooknya (DrUzir Mahidin), hari ini.

Maklumat ini diperoleh daripada Tinjauan Tenaga Buruh (STB) yang dilaksanakan untuk mengumpul maklumat berkaitan struktur dan taburan tenaga buruh, guna tenaga dan pengangguran.

Konsep dan definisi yang digunakan dalam STB adalah mengikut piawaian ditetapkan oleh badan antarabangsa iaitu International Labour Organizations (ILO) melalui 'Manual on Concepts and Methods: Surveys of Economically Active Population, Employment, Unemployment and Underemployment' yang diguna pakai oleh semua negara.

STB meliputi kedua-dua kawasan bandar dan luar bandar bagi negeri di Malaysia melalui kaedah temu ramah dengan responden.

Populasi penyiasatan meliputi penduduk yang tinggal di tempat kediaman persendirian dan tidak termasuk mereka yang tinggal di institusi seperti hotel, asrama, hospital, penjara, rumah tumpangan dan pekerja yang tinggal di rumah kongsi.

Tinjauan merangkumi penduduk aktif dan tidak aktif dalam ekonomi. Bagi mengukur penduduk yang aktif dalam ekonomi, STB menggunakan had umur 15 hingga 64 tahun.

Manakala, penduduk yang aktif dalam ekonomi terdiri daripada mereka yang bekerja dan menganggur, manakala mereka yang tidak aktif dikelaskan sebagai berada di luar tenaga buruh.

STB menggunakan pendekatan taraf sebenar di mana seseorang itu dikelaskan berasaskan kegiatannya dalam tenaga buruh semasa minggu rujukan.

  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan
  • Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 8 Mei 2020 @ 1:31 PM