PEKERJA melipat tudung ketika tinjauan di sekitar Jalan Masjid India. FOTO Mohamad Shahril Badri Saali
PEKERJA melipat tudung ketika tinjauan di sekitar Jalan Masjid India. FOTO Mohamad Shahril Badri Saali
Amir Abd Hamid


WALAUPUN sudah memasuki pertengahan Ramadan namun kawasan pusat beli-belah di tengah ibu kota agak sepi.

Berbanding tahun sebelumnya, orang ramai mengambil kesempatan mencari persiapan menyambut Aidilfitri, namun kali ini lebih banyak pemandangan jurujual termenung di kedai jualan menunggu pelanggan masuk.

Tinjauan Harian Metro di Jalan Tuanku Abdul Rahman mendapati kedai menjual kasut, tudung, baju Melayu, kain dan sebagainya masih lengang walaupun kerajaan sudah melonggarkan sekatan menerusi Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) 4 Mei lalu.

Tiada hiruk-pikuk orang ramai lalu lalang di tengah-tengah segi tiga emas kawasan perniagaan terkenal di ibu negara itu, lebih-lebih lagi ketiadaan bazar Ramadan.

Penangan pandemik Covid-19 yang dilaporkan sudah menjangkiti 3.76 juta penduduk dunia yang turut merebak di negara ini menyebabkan masyarakat lebih berhati-hati.

PERSEKITARAN kompleks beli belah di Jalan Tuanku Abdul Rahman yang agak lengang.
PERSEKITARAN kompleks beli belah di Jalan Tuanku Abdul Rahman yang agak lengang.

Pengurus sebuah butik tudung, Syazana Amalina Jaidir, 34, berkata, jumlah pelanggan boleh dikira dengan jari sejak dia membuka semula perniagaan tiga hari lalu.

"Kedai sangat lengang, terlalu perlahan tidak ada ramai pengunjung. Satu hari pengunjung yang masuk boleh dikira dengan jari beberapa orang sahaja yang masuk dalam butik kami.

"Hanya tinggal kira-kira dua minggu Aidilfitri akan disambut. Kita berharap sangatlah, bukan saya sahaja tetapi saya rasa peniaga di seluruh Malaysia sangat berharap masih ada rezeki kami," katanya.

Kebiasaannya, Syazana Amalina berkata, menjelang lebaran ramai pengunjung ke butik itu sehingga dia dan kakitangan sangat sibuk sehingga tak menang tangan.

Wanita itu tidak putus berdoa semoga ekonomi Malaysia akan pulih dengan kadar segera memandangkan ramai peniaga sukar bertahan.

"Bagaimana nak bertahan? Memang agak sukar untuk saya nak jawab dengan situasi sekarang.

"Ini pun harapnya pemilik tanah dan premis boleh berlebih kurang dengan kita. Tak tahu macam mana situasi mendatang, sekarang hanya mengikut sahaja arusnya," katanya.

Beliau berkata, pihaknya faham ramai masih lagi takut untuk keluar berbelanja akibat wabak Covid-19 jadi pihaknya mengambil alternatif menguatkan jualan menerusi atas talian.

Situasi kurang pengunjung turut berlaku di beberapa pusat beli belah terkemuka seperti Sogo dan Kompleks Pertama.

Tinjauan mendapati tidak berlaku kesesakan pengunjung manakala pihak pengurusan memastikan kakitangan serta pelanggan mengikut SOP penjarakan sosial, pemeriksaan suhu badan dan menggunakan pensanitasi tangan.

Seorang pengunjung Sogo, Siti Nazifah Mohd Najid, 41, berkata dia dan suaminya Mohd Faizul Abdul Rahman, 41, ke pusat beli-belah itu untuk membelikan pakaian untuk empat anak mereka berusia 12 hingga 18 tahun.

"Mestilah mereka nak baju baru waktu raya. Beli ala kadar untuk anak-anak sahaja. Pendapatan saya dan suami sebagai pengusaha kantin sekolah sangat terjejas berikutan sekolah sudah lama ditutup.

"Ada bagusnya dapat keluar dengan kelonggaran PKPB ini. Jadi ekonomi pun boleh meningkat untuk negara.

"Tetapi kita kena pastikan jaga SOP ditetapkan kerajaan seperti jarak sosial dan sebagainya. Kalau tiada keperluan baik duduk rumah sahaja," katanya.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19

  • Lagi berita berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan
  • Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 8 Mei 2020 @ 1:18 PM