FOTO HIASAN
FOTO HIASAN
Omar Ahmad


UNIVERSITI Teknologi Malaysia (UTM) menangguhkan Majlis Konvokesyen Kali Ke-64 yang dijadualkan pada 24 hingga 28 Oktober depan.

Naib Canselor UTM, Profesor Datuk Ir Dr Wahid Omar berkata, keputusan itu dibuat sebagai langkah berjaga-jaga dalam mengekang wabak Covid-19.

Katanya, majlis konvokesyen ke-64 membabitkan hampir 8,000 pelajar kerana kali pertama UTM menjalankan konvokesyen sekali setahun berbanding dua kali setahun, sebelum ini.

"Menjelang Oktober kami menjangkakan Covid-19 mungkin berakhir tetapi sebagai langkah keselamatan kita putuskan tiada majlis konvokesyen tahun ini.

"Pelajar boleh mengambil sijil mereka di Bahagian Pengurusan Akademik yang menyediakan perkhidmatan sijil awal kepada pelajar yang menamatkan pengajian.

"Tetapi sekiranya pelajar mahu merasa suasana majlis konvokesyen dan bergambar, mereka boleh menyertainya pada tahun berikutnya.

"Mereka boleh pilih sama ada menyertai majlis konvokesyen pada 2021, 2022 atau 2023," katanya ketika ditemui selepas khidmat sanitasi oleh Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) di Dataran UTM di Skudai, Johor, hari ini.

Wahid (Kanan) bersama Yahaya (Dua dari Kanan) pada khidmat sanitasi bas yang membawa pelajar pulang ke kampung di UTM. FOTO Omar Ahmad
Wahid (Kanan) bersama Yahaya (Dua dari Kanan) pada khidmat sanitasi bas yang membawa pelajar pulang ke kampung di UTM. FOTO Omar Ahmad

Sebanyak 33 bas disanitasi sebelum membawa 284 pelajar pulang ke di Pantai Timur malam ini.

Menurut Wahid, pelajar yang terbabit dengan majlis konvokesyen yang ditangguhkan boleh memohon sijil tamat pengajian mereka sama ada secara dalam talian atau hadir ke UTM.

"Selepas sudah lulus senat, pelajar akan dimaklumkan melalui surat. Kemudian mereka boleh mohon sijil awal di bahagian pengurusan akademik UTM sama ada secara dalam talian menerusi email atau datang ke UTM," katanya.

  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan
  • Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 7 Mei 2020 @ 12:34 PM