ZAINUL RIJAL ABU BAKAR
ZAINUL RIJAL ABU BAKAR
Rosyahaida Abdullah


PEMBAYARAN pampasan atau ganti rugi kepada mangsa kemalangan atau waris wajar dipertimbangkan dalam menggubal undang-undang negara ini, kata Peguam Datuk Zainul Rijal Abu Bakar.

Beliau yang juga Presiden Persatuan Peguam Muslim Malaysia (PPMM) berkata, ia juga boleh dianggap sebagai hukuman kepada pesalah yang menyebabkan kematian individu lain.

Katanya, negara perlu ada aspek perundangan yang turut membela keluarga mangsa, apa lagi jika mangsa adalah ketua keluarga dan mempunyai tanggungan.

"Perundangan sedia ada lebih berat ke arah menjatuhkan hukuman seperti penjara buat pesalah yang memandu dalam keadaan mabuk sehingga menyebabkan kematian.

"Tanpa disedari, keluarga kepada mangsa yang meninggal dunia atau hilang upaya misalnya, langsung tidak mendapat pembelaan sewajarnya, sedangkan mereka hilang tempat bergantung dan sebagainya.

"Justeru, lebih elok pampasan atau ganti rugi yang munasabah dipertimbangkan untuk disertakan dalam peruntukan undang-undang di negara kita," katanya kepada Harian Metro ketika dihubungi, hari ini.

Beliau berkata demikian mengulas kematian Allahyarham Koperal Safwan Muhammad Ismail akibat dirempuh pemandu kenderaan pacuan empat roda (4WD) yang dipercayai mabuk di Lebuhraya Kajang-Seremban (LEKAS) pagi Ahad lalu.

Ketika kejadian, Allahyarham sedang bertugas dalam Sekatan Jalan Raya (SJR) Covid-19.

Sambil menyifatkan kejadian seumpama itu kerap berulang, Zainul Rijal berkata, masih belum ada tindakan bersepadu diambil untuk mengekangnya.

Pendapat sama dikongsi Peguam Adnan Seman yang melihat keperluan untuk mengkaji semula peruntukan berkaitan hukuman ke atas pemandu mabuk terutama bagi kemalangan yang meragut nyawa.

Jelasnya, Seksyen 44 Akta Pengangkutan Jalan 1987 (Akta 333) perlu dipinda dan hukuman bagi pemanduan mabuk yang menyebabkan kematian atau kecederaan perlu diasingkan mengikut seksyen berbeza.

"Hukuman perlulah lebih berat kerana nyawa orang yang tidak berdosa menjadi mangsa. Misalnya dengan mengenakan hukuman penjara minimum lima hingga 10 tahun dan sekurang-kurangnya 10 sebatan serta denda sekurang-kurangnya RM100,000.

"Manakala bagi Seksyen 45A (1) pula, ia perlu dipinda dengan mengenakan denda sekurang-kurangnya RM10,000 dan tidak lebih RM30,000 bagi kesalahan pertama.

"Kesalahan seterusnya perlu dikenakan denda lebih tinggi iaitu tidak kurang RM30,000 dan tidak lebih RM50,000 serta penjara tidak lebih setahun," katanya ketika dihubungi.

Ketika ini, Seksyen 44 Akta 333 menetapkan hukuman penjara tidak kurang tiga tahun dan tidak lebih 10 tahun serta denda tidak kurang RM8,000 dan tidak lebih RM20,000, jika sabit kesalahan.

Pesalah juga hilang kelayakan memegang atau mendapatkan lesen memandu selama tempoh lima tahun selain lesen memandu pesalah atau yang sedang dalam proses pertuduhan juga digantung berkuat kuasa dari tarikh pertuduhan dibacakan pertama kali.

Manakala bagi Seksyen 45A (1) akta sama memperuntukkan, mana-mana individu yang memandu dalam keadaan mabuk boleh didenda tidak kurang RM1,000 dan tidak lebih RM6,000.

Berita berkaitan:

  • Suspek langgar Koperal Safwan direman
  • Jenazah Koperal Safwan selamat dikebumikan [METROTV]
  • Pemergian Safwan kehilangan buat negara, Perak
  • Safwan pekerja cemerlang, disenangi semua
  • Takziah keluarga arwah Safwan - Agong, Raja Permaisuri
  • Pemandu mabuk perlu hukuman lebih berat [METROTV]
  • PM ucap takziah kepada keluarga Safwan
  • Gambar terakhir Koperal Safwan buat keluarga [METROTV]
  • Kematian Koperal Safwan sangat memilukan - KPN [METROTV]
  • Polis maut dirempuh pemandu mabuk [METROTV]
  • Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 5 Mei 2020 @ 4:52 PM