BERNAMA

TANGGAPAN akan berlaku kekecohan dan huru-hara semalam apabila rakyat yang sekian lama berkurung di rumah "dibebaskan" ternyata meleset.

Terima kasih kepada seluruh anggota masyarakat kerana mampu membuat kawalan diri.

Malah, Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengakui beliau sendiri membayangkan keadaan yang teruk itu akan berlaku pada hari pertama pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) semalam.

"Bayangkan, setelah begitu lama di rumah tiba-tiba semalam dibebaskan. Tentulah keadaan jadi huru-hara kerana ramai akan keluar dan sebagainya, namun keadaan adalah sebaliknya," katanya pada sidang media harian mengenai PKP di Putrajaya, hari ini.

PENGGUNA pengangkutan awam perlu mengamalkan penjarakan sosial dan memakai penutup hidung dan mulut dalam usaha mengekang penularan Covid-19. FOTO BERNAMA
PENGGUNA pengangkutan awam perlu mengamalkan penjarakan sosial dan memakai penutup hidung dan mulut dalam usaha mengekang penularan Covid-19. FOTO BERNAMA

Beliau berkata, walaupun berlaku peningkatan jumlah kenderaan di jalan raya, keadaan masih terkawal dengan majoriti rakyat termasuk pemilik premis perniagaan mematuhi Prosedur Operasi Standard (SOP) yang ditetapkan.

"Ini menunjukkan normal baharu itu telah mula diikuti dan jadi budaya rakyat kita. Seperti saya sebutkan, kawalan kendiri ini yang amat penting bagi kita untuk menjaga kepentingan kesihatan kita, nampaknya sedang diamalkan rakyat kita," katanya.


  • Lagi berita berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan
  • Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 5 Mei 2020 @ 4:39 PM