TASKA perlu sanitasi terlebih dahulu sebelum dibenarkan beroperasi. FOTO Iqmal Haqim Rosman
TASKA perlu sanitasi terlebih dahulu sebelum dibenarkan beroperasi. FOTO Iqmal Haqim Rosman
Muhaamad Hafis Nawawi

PENGUSAHA taska perlu sanitasi terlebih dahulu premis mereka dan mendapat kebenaran daripada pejabat kesihatan daerah sebelum dibenarkan beroperasi.

Presiden Persatuan Pengasuh Berdaftar Malaysia Anisa Ahmad berkata, pihaknya juga baru menerima panduan standard prosedur operasi (SOP) daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) semalam dan buat masa ini taska masih belum boleh beroperasi.

Menurutnya, pihaknya ada juga menerima maklumat terdapat beberapa taska sudah beroperasi namun tidak mengetahui sama ada mereka mengikut SOP ditetapkan kerajaan.

"Sebanyak 4,000 taska di seluruh negara yang berdaftar perlu mengikut SOP itu sebelum beroperasi di mana premis mereka mesti disanitasi terlebih dahulu.

"Mereka juga boleh menggunakan khidmat daripada mereka yang mempunyai kelulusan dari Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) untuk melakukan sanitasi itu sebelum beroperasi," katanya ketika dihubungi hari ini.

Anisa berkata, bagaimanapun yang dibimbangi adalah pengusaha taska tidak berdaftar dengan JKM serta 'pengasuh cendawan' tiada kelayakan serta tidak mengikut SOP ditetapkan.

"Buat masa ini pihak persatuan menggalakkan pengusaha taska mengutamakan penghantaran anak-anak di mana kedua-dua ibu bapanya terpaksa hadir bekerja di sektor pekerjaan mereka serta barisan pasukan hadapan.

"Kami juga perlu memeriksa suhu badan di pintu masuk untuk setiap kakitangan dan kanak-kanak, jika suhu badan 37.5 ° Celcius dan ke atas, kakitangan atau kanak-kanak tidak dibenarkan untuk berada dalam taska," katanya.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19

  • Lagi berita berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan
  • Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 4 Mei 2020 @ 5:30 PM