Long Tiger
Long Tiger
Nurul Amanina Suhaini


POLIS menerima beberapa lagi laporan daripada orang awam berhubung kesalahan lampau lelaki Rohingya dikenali sebagai Long Tiger yang ditahan semula Sabtu lalu.

Ketua Polis Johor, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay berkata, pihaknya dimaklumkan terdapat beberapa lagi laporan dibuat ke atas lelaki berusia 34 tahun itu di beberapa negeri termasuk Selangor dan Kuala Lumpur.

"Apabila dia (Long Tiger) ditangkap di Johor dan direman, ramai lagi orang awam tampil membuat laporan berkait kesalahan lampau lelaki itu.

"Mungkin sebelum ini orang takut mahu membuat laporan. Takut ada tindak balas daripada Long Tiger. Banyak lagi laporan yang dibuat. Kita tunggu," katanya ketika ditemui selepas program penyerahan sumbangan Syarikat Yeoh Tiong Lay (SPYTL) Sdn Bhd kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM) Johor di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor hari ini.

Terdahulu, PDRM Johor mengesahkan menahan semula individu digelar Long Tiger bersabit kes baru dilaporkan di Tangkak pada 2 Mei lalu yang membabitkan elemen pemerasan.

Beliau berkata, permohonan reman bagi siasatan mengikut Seksyen 500 Kanun Keseksaan/233 Akta Komunikasi dan Multimedia sudah ditolak oleh Majistret Mahkamah Muar.

"Jika sabit kesalahan mengikut Seksyen 388 Kanun Keseksaan, dia boleh dipenjara selama tempoh yang boleh sampai 10 tahun dan boleh dikenakan denda atau sebatan," katanya.

Pemegang kad Pesuruhjaya Bangsa-Bangsa Bersatu Bagi Pelarian (UNHCR) itu ditahan semula Sabtu lalu dan direman bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 388 Kanun Keseksaan membabitkan elemen pemerasan.

Terdahulu dia direman bagi siasatan mengikut Seksyen 500 Kanun Keseksaan/233 Akta Komunikasi dan Multimedia.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 4 Mei 2020 @ 3:00 PM