DEWAN Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) menegaskan hanya aktiviti jogging bersendirian dibenarkan bermula esok di taman awam sekitar ibu kota.
Dalam kenyataan terbaru, DBKL memaklumkan pihaknya membenarkan aktiviti jongging bersendirian di taman awam manakala kemudahan awam lain seperti taman permainan kanak-kanak, alat senam riang, gelanggang sukan, padang bola dan kolam mandi masih ditutup kepada pengunjung.
"Ini termasuk tempahan tapak rekreasi serta dewan kecuali tandas awam baik di dalam taman mahupun kawasan lain di bawah seliaan DBKL akan dibuka untuk kegunaan umum," katanya.
Dalam perkembangan sama, DBKL memaklumkan, semua pejabat agensi itu akan beroperasi secara berperingkat bergantung kepada lokasi dan jenis perkhidmatan.
"Untuk perkhidmatan kaunter bayaran bagi perumahan, pelesenan dan OSC, kaunter di Menara DBKL 1 akan beroperasi bermula 7.30 pagi hingga 4 petang, esok.
"Kaunter pandu lalu dan Menara DBKL 2 pada jam 8.30 pagi hingga 4 petang manakala Menara DBKL 3 akan beroperasi mulai 5 Mei hingga 12 Mei bermula jam 9 pagi hingga 3 petang," katanya.
Katanya, kaunter pelesenan di Menara DBKL 2 pula dibuka mulai 6 Mei melalui kaedah temu janji di talian 03-20282521/03-26176184 sementara kaunter OSC di menara sama dibuka esok bermula 8.30 pagi hingga 3 petang.
"Perkhidmatan Suntikan Tifoid atau Meningitis pula akan mula beroperasi 5 Mei jam 8.30 pagi hingga 2 petang sementara permohonan dan pembaharuan lesen diwajibkan dibuat secara dalam talian di https://elesen.dbkl.gov.my bagi lesen premis, iklan, papan tanda premis, komposit dan hiburan," katanya.
Menurutnya, DBKL juga memutuskan supaya pegawai dan kakitangannya kembali bertugas bagi meneruskan penyediaan perkhidmatan buat seluruh warga kota.
"Sebagai langkah keselamatan dan berjaga-jaga, beberapa perkhidmatan membabitkan orang awam akan dilaksanakan secara terkawal mengikut garis panduan kesihatan serta keselamatan yang dikeluarkan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).
"Penjarakan sosial, pemakaian penutup mulut dan hidung serta penggunaan cecair pembasmi kuman perlu diamalkan orang awam yang berurusan di pejabat DBKL bagi mengawal penularan wabak Covid-19 yang masih belum berakhir.
"Mereka yang gagal mematuhi arahan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) boleh didakwa mengikut Akta Pencegahan Dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Akta 342)," katanya.
Sebarang aduan atau pertanyaan boleh layari http://ispaaadbkl.dbkl.gov.my/; emel ke [email protected] atau di talian 03-26179000 (Menara DBKL 1) / 03-20282000 (Menara DBKL 2) / 03-26176000 (Menara DBKL 3); 03-40244424 (Bilik Gerakan); 013-6806666 / 013-6887777 (Pertiwi Whatsapp Helpline).