ZAKI dari Kampung Pak Jin sedang menunaikan solat sunat tarawih bersama dua anak kembarnya, Qisya dan Qaseh, 9, di rumah. FOTO ihsan Mohd Zaki Mat Yakim
ZAKI dari Kampung Pak Jin sedang menunaikan solat sunat tarawih bersama dua anak kembarnya, Qisya dan Qaseh, 9, di rumah. FOTO ihsan Mohd Zaki Mat Yakim
Ahmad Rabiul Zulkifli


SUDAH dua tahun seorang guru agama, di Kuala Nerus, Terengganu menjadi imam jemputan solat tarawih di Masjid Darul Imaan, Wolli Creek, Sydney, Australia.

Bagaimanapun, kelaziman itu tidak berlaku tahun ini susulan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), dan Ramadan kali ini, Mohd Zaki Mat Yakim, 46, bertarawih bersama isteri dan dua anak kembarnya di rumah.

Anak kelahiran Kampung Pok Jin, Tepoh itu berkata, dia menjadi imam jemputan solat terawih dua tahun berturut-turut pada 2017 dan 2018.

Malah, dia turut mencipta sejarah tersendiri apabila menjadi anak Terengganu pertama yang diberi penghormatan mengimamkan solat Sunat Aidilfitri dan menyampaikan khutbah dalam bahasa Inggeris di hadapan lebih 500 jemaah pelbagai bangsa dan negara di masjid berkenaan.

"Sebelum ini saya hanya sibuk menjadi imam di masjid di luar negara dan seluruh daerah tetapi sekarang banyak masa terluang bersama keluarga.

"Setiap hari saya dan isteri, Nani Ngah, 44, dan dua anak kembar, Qisya dan Qaseh, 9, akan solat berjemaah dan bertarawih di rumah.

"Agak janggal apabila menunaikan solat sunat tarawih di rumah kerana setiap tahun ia dilakukan di masjid atau surau, timbul juga kerinduan untuk berbuat demikian," katanya ketika dihubungi hari ini.

Mohd Zaki berkata, Ramadan kali ini menjadi sejarah dan akan diingati sampai bila-bila kerana bukan sahaja tidak dibenarkan bersolat di masjid malah segala aktiviti agama seperti kelas al-Quran juga terpaksa dijalankan melalui dalam talian.

Mengenai kelas al-Quran yang dijalankan, Mohd Zaki berkata, dia meneruskan pengajian al-Quran itu atas permintaan lebih 20 pelajarnya.

"Saya menjalankan kelas dan tadarus al-Quran melalui aplikasi Skype. Ia dijalankan dua sesi iaitu pada jam 9.30 malam hingga 11 malam dan 9 pagi hingga 11 pagi," katanya.

  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan
  • Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 3 Mei 2020 @ 2:48 PM