Siti Rohana Idris

SELEPAS 10 jam operasi mencari dan menyelamat, lelaki yang terjun dari Jambatan Sultan Yahya Petra di Kota Bharu ditemui lemas pada 1.22 tengah hari ini.

Mayat Thirunakkarasu Ramasamy, 55, ditemui pasukan bomba selepas timbul di permukaan sungai kira-kira 15 meter dari lokasi mangsa terjun petang semalam.

Adik mangsa, Nachiappan Ramasamy, 54, berkata, ahli keluarga lega dengan penemuan itu kerana mereka sekeluarga sudah 'berkampung' di tebing sungai sejak semalam.

"Sebaik dihubungi polis kami bergegas ke lokasi dan menunggu tanpa berganjak ke mana-mana kerana bimbang abang akan ditemui bila-bila masa.

"Mayat abang dihantar ke Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II) dan akan dibawa ke tempat pembakaran di Tumpat sebaik selesai proses bedah siasat nanti," katanya.

Dalam kejadian pada 3.20 petang semalam, mangsa dikatakan memanjat penghadang jambatan sebelum terjun ke Sungai Kelantan dan kejadian itu sempat dilihat seorang saksi yang kemudian menghubungi pihak berkuasa.

Sementara itu, anak perempuan mangsa, Heranya Thirunakkarasu, 26, berkata, kehilangan bapanya disedari selepas tidak pulang ke rumah mereka di Panji selepas keluar pada 3 petang.

Menurutnya, setiap pagi bapanya akan ke kilang rempah yang diusahakan keluarganya di Jalan Long Yunus.

Bagaimanapun, katanya, semalam mendiang tidak ke kilang tetapi menghantar kek dibuat ibu mereka kepada jiran.

"Bapa tidak membawa dompet dan itu menyebabkan kami pelik, namun kami tidak memikirkan perkara bukan-bukan sehinggalah polis menghubungi supaya ke lokasi untuk mengenalpasti motosikal milik bapa.

"Mendiang bapa menjalani pembedahan jantung sejak setahun lalu dan menghidap kemurungan menyebabkan dia sukar tidur malam dan sering meracau pada waktu pagi," katanya.

Anggota bomba mengusung mangsa selepas menemuinya lemas di Sungai Jin, Sungai Lembing, Kuantan petang hari ini. Foto Ihsan JBPM
Anggota bomba mengusung mangsa selepas menemuinya lemas di Sungai Jin, Sungai Lembing, Kuantan petang hari ini. Foto Ihsan JBPM

  • Parkir motor terus terjun sungai
  • Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 2 Mei 2020 @ 3:18 PM