BAKRI menyerahkan bungkusan ikan keli disumbangkan pengusaha ikan air tawar kepada penduduk. FOTO Abnor Hamizam
BAKRI menyerahkan bungkusan ikan keli disumbangkan pengusaha ikan air tawar kepada penduduk. FOTO Abnor Hamizam
Abnor Hamizam Abd Manap


PENGUSAHA ikan air tawar bermurah hati menyumbang empat tan ikan keli kepada Jabatan Perikanan untuk diagihkan kepada penduduk terutama yang terjejas akibat Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Satu tan ikan keli sudah diagihkan kepada 1,000 penduduk oleh 28 Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) di Dewan Undangan Negeri (DUN ) Klawang dan Chennah.

Pengurus jualan, Mun Kok Hing berkata, ikan keli itu adalah sumbangan daripada pengusaha Ten Tiam Loy, 59, yang juga sahabatnya di dalam bidang akuakultur yang mempunyai 13 kolam ikan air tawar di Sungai Muntoh, Titi.

Katanya pengagihan ikan itu adalah sebahagian tanggungjawab sosial daripada pengusaha terbabit berikutan PKP yang sudah memasuki fasa ke empat danterpanggil bagi membantu orang ramai dengan memberi ikan keli satu kilogram pada setiap keluarga.

"Pada awalnya, rakan saya bercadang mahu memberi dua kilogram ikan namun bagi membolehkan lebih ramai menerima ikan berkenaan ia dikurangkankepada sekilogram.

"Rakan saya membelanjakan RM18,000 bagi membantu orang ramai dan berharap ia dapat meringankan beban ditanggung penduduk terutama yang hilang pendapatan," katanya ditemui pada gimik penyerahan di Pejabat Perikanan Jelebu, hari ini.

Gimik penyerahan disempurnakan oleh Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Pertanian dan Industri Asas Tani Negeri. Sembilan, Bakri Sawir.

Bakri kemudian turut bersama mengedarkan ikan keli kepada penduduk taman perumahan berhampiran.

Kok Hing berkata, baki tiga tan ikan keli itu lagi akan diserahkan kepada penduduk menerusi Jabatan Perikanan kepada daerah lain yang akan ditentukan oleh jabatan berkenaan.

Sementara itu Ketua Perikanan Daerah Jelebu Mohd Azhar Jusoh berkata, pihaknya gembira berikutan terdapat pengusaha ikan air tawartampil membantu penduduk ketika PKP ini.

  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan
  • Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 1 Mei 2020 @ 1:57 PM