Shamran Sarahan dan Amir Abd Hamid dan Raja Noraina Raja Rahim


KESIAPSAGAAN dan respons dalam membendung penularan Covid-19 di Sarawak terus meningkat apabila 18 hospital bersedia menjadi lokasi saringan, berbanding cuma lima hospital pada fasa gelombang pertama pandemik itu.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata, ia peningkatan sebanyak 72 peratus dengan empat hospital dikenal pasti sebagai pusat rawatan Covid-19, iaitu Hospital Umum Sarawak (HUS), Hospital Miri, Hospital Bintulu dan Hospital Sibu.

Beliau berkata, keempat-empat hospital itu menyediakan 736 katil dikhaskan bagi kes Covid-19 dan dilengkapi dengan 63 katil rawatan kritikal dengan 112 mesin bantuan pernafasan (ventilator).

Selain itu, katanya, terdapat lima fasiliti dikenal pasti sebagai pusat kuarantin dan rawatan risiko rendah Covid-19 dengan kapasiti 901 katil.


"Kini terdapat empat makmal yang boleh menjalankan ujian pengesahan Covid-19 iaitu di HUS, Hospital Sibu, Hospital Miri, dan Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS).

"Secara keseluruhannya, jumlah ujian pengesahan yang dapat dijalankan di empat makmal ini adalah 898 ujian, dan ini akan dipertingkatkan ke 1,040 ujian sehari," katanya pada sidang media harian Covid-19 di Putrajaya, hari ini.

Dalam pada itu, beliau berkata, HUS bakal menerima mesin Lab Turbo yang dijangka beroperasi pada awal Mei dengan kapasiti 200 ujian sehari, manakala Hospital Bintulu pula dijangka menjalankan ujian mulai pertengahan Mei dengan kapasiti 30 hingga 40 ujian sehari.

"Sekiranya ada keperluan, KKM akan menghantar sampel ke makmal hospital di Semenanjung atau ke makmal swasta sebagai perancangan peningkatan kapasiti makmal jangka masa pendek," katanya.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 30 April 2020 @ 5:24 PM