GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Samadi Ahmad


INSTITUT Automotif, Robotik dan IoT Malaysia (MARii) bersedia membantu perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PKS) meningkatkan tahap pendigitalan, seiring dengan perubahan ekosistem perniagaan selepas Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) ditamatkan.

Ketua Eksekutifnya, Datuk Madani Sahari berkata, pelbagai program peningkatan daya upaya dibangunkan pihaknya dalam membantu PKS menerapkan teknologi digital dalam operasi seharian.

Menurut beliau, pihaknya kini sedia memperluaskan program-program itu bagi membantu lebih banyak syarikat PKS menghadapi era pasca PKP.

"Walau bagaimanapun, syarikat perlu memulakan 'kebiasaan baharu' dengan mematuhi operasi standard (SOP) dan garis panduan kawalan kesihatan ditetapkan bagi mengekang wabak Covid-19," katanya tadi.

Pada Oktober 2019, MARii melancarkan dua program bagi meningkatkan penerapan teknologi bagi PKS membabitkan Program Pembangunan Teknopreneur (TDP - Technopreneur Development Program) dan Platform Teknologi Pintar MARii (MITP – MARii Intelligent Technology Platform).

Program diadakan itu bertujuan memperkasa penggunaan sistem dan alatan digital di dalam operasi perniagaan dan mendokong keperluan infrastruktur teknologi industri 4.0 kepada PKS.

Madani berkata, selepas PKP tamat, pihaknya bakal berhadapan perubahan kepada corak dan tingkah laku pengguna yang akan mengambil langkah berhati-hati dan lebih cenderung kepada pembelian secara atas talian (online).

Menurutnya, suasana itu akan mengakibatkan perniagaan yang tidak biasa dengan teknologi menjadi kurang relevan di dalam pasaran.

"Penularan wabak pandemik itu turut mengubah kaedah dan SOP syarikat dalam jangka masa panjang bagi meningkatkan keperluan penggunaan teknologi digital seperti analisa data, automasi, pengurusan inventori, perancangan pengeluaran dan penyelenggaraan peralatan".

"Program diadakan itu bertujuan membantu syarikat tempatan mengatasi kesukaran terutama PKS dalam mengubah syarikat ke arah kecenderungan teknologi lebih tinggi".

"Semua syarikat dari pelbagai sektor dipelawa menyertai program itu bagi menjamin kelestarian dan meningkatkan daya upaya ekosistem rantaian bekalan secara keseluruhan," katanya.

Syarikat yang berminat untuk menyertai program TDP dan MITP boleh menghubungi MARii melalui talian terus, laman web (www.marii.my), email ([email protected])atau saluran media sosial (@MARiiMalaysia).

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 30 April 2020 @ 12:21 PM