KUNJUNGAN hormat delegasi China kepada Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal. FOTO ihsan Jabatan Penerangan Sabah
KUNJUNGAN hormat delegasi China kepada Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal. FOTO ihsan Jabatan Penerangan Sabah
Rafiqah Dahali


PAKAR perubatan Covid-19 dari China mencadangkan menggunakan ubat tradisional Cina sebagai sebahagian cara rawatan ke atas pesakit Covid-19.

Timbalan Menteri Kesihatan II, Datuk Aaron Ago Dagang berkata, China memaklumkan mengambil pendekatan rawatan dengan menggabungkan ubat tradisional Cina serta ubat dari Barat untuk pesakit di sana (China).

"Pesakit dirawat dengan menggabungkan ubat tradisional Cina serta ubat moden dan pesakit sembuh dengan cepat.

"Bagaimanapun, kita mengharapkan penemuan vaksin Covid-19 kerana objektif utama kita adalah untuk memperolehi vaksin.

"Selain itu, China juga memaklumkan mereka melakukan uji kaji vaksin ke atas manusia dan bukannya haiwan," katanya.

Beliau ditemui media selepas program Penyampaian Sumbangan Bencana Covid-19 Kepada Kerajaan Sabah yang dihadiri oleh Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal di Pusat Pentadbiran Negeri Sabah ( PPNS ), di Kota Kinabalu.

Sebelum itu, delegasi China bersama Konsul Jeneral Republik Rakyat China Kota Kinabalu, Liang Caide mengadakan kunjungan hormat kepada Mohd Shafie, di sini, petang tadi.

Aaron turut memberitahu media delegasi terbabit yang turut membabitkan pakar perubatan dari China itu berkongsi pelbagai perkara mengenai pengendalian Covid-19 di negara mereka dalam kunjungan hormat yang dilakukan di sini, hari ini.

"Dalam kunjungan hormat itu, mereka telah memberi perkongsian pengalaman dan perbincangan mengenai cara mereka mengendalikan pesakit Covid-19, situasi di Wuhan, perintah berkurung dan sebagainya.

"Mereka turut memuji cara kita mengendalikan Covid-19 di Malaysia dan apa yang kita laksanakan lebih kurang sama dengan apa yang mereka lakukan di China," katanya.

Beliau turut memberitahu pakar perubatan yang terdiri dari pakar Covid-19 itu akan mengadakan perbincangan terakhir bersama pihaknya esok.

"Kita akan mempunyai perbincangan terakhir bersama mereka dan akan memberikan cadangan apa yang harus kita lakukan sebelum mereka berangkat pulang.

"Kerjasama antara kerajaan dengan kerajaan tetap akan berterusan dan kita bekerjasama secara erat dengan mereka dalam pelbagai aspek," katanya.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 29 April 2020 @ 7:06 PM