Bot nelayan kelas B yang ditahan Maritim Malaysia Selangor ketika melakukan aktiviti menunda pukat pada jarak tidak sah. FOTO Ihsan APMM
Bot nelayan kelas B yang ditahan Maritim Malaysia Selangor ketika melakukan aktiviti menunda pukat pada jarak tidak sah. FOTO Ihsan APMM
Norzamira Che Noh


TINDAKAN sebuah bot nelayan tempatan kelas B menunda pukat pada jarak yang tidak dibenarkan membawa padah apabila ditahan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Selangor, malam kelmarin.

Pengarah Maritim Negeri, Kapten Maritim Mohammad Rosli Kassim berkata, pada kejadian 10.50 malam itu, bot berkenaan ditahan pada jarak 0.5 batu nautika dari Sungai Chandong, Pulau Indah, dekat Pelabuhan Klang

"Ketika ditahan, bot nelayan yang dikendalikan oleh tekong dan dua orang lelaki tempatan berusia antara 30 hingga 52 tahun sedang menunda pukat.

"Bot berkenaan didapati melanggar syarat sah lesen apabila membuat penangkapan ikan pada jarak kurang dari 8.0 batu nautika," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Beliau berkata, tindakan 'tarik tepi' adalah kesalahan mengikut Akta Perikanan 1985 dan mereka boleh dikenakan denda sebanyak RM20,000 atau dua tahun penjara atau kedua-duanya sekali.

Katanya, bot dan kesemua yang ditahan diiring masuk ke jeti dan dibawa ke Ibu Pejabat APMM Selangor untuk siasatan lanjut.

Jelasnya lagi, nelayan berkenaan mungkin menganggap APMM mengambil mudah soal penguatkuasaan sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) seterusnya mengambil jalan mudah untuk mencari keuntungan.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 29 April 2020 @ 9:38 AM