ANTARA penuntut yang tinggal di Inapan Siswa (Inasis) bersiap untuk pulang ke rumah masing-masing. FOTO Ihsan UUM
ANTARA penuntut yang tinggal di Inapan Siswa (Inasis) bersiap untuk pulang ke rumah masing-masing. FOTO Ihsan UUM
Noorazura Abdul Rahman


KEGEMBIRAAN jelas terpancar di wajah pelajar Universiti Utara Malaysia (UUM), Sintok apabila dibenarkan pulang ke rumah masing-masing secara berperingkat mulai malam ini.

Penuntut, Ng Shang Bao, 21, berkata, detik ini sangat dinantikan semua penuntut yang terpaksa kekal di kampus sejak pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan PKP (PKP) pada 18 Mac lalu.

"Saya berharap semua penuntut dapat memberikan kerjasama sepanjang tempoh penghantaran ini dan mematuhi arahan yang ditetapkan supaya proses ini berjalan lancar," katanya yang berasal dari Gombak.

Seorang lagi penuntut, Sumitrra Paramalingam, 22, berkata, dia tidak sabar untuk pulang ke rumahnya di Rawang selepas lebih sebulan berada di kampus.

Katanya, dia akan kekal berdisiplin dengan mematuhi arahan dan peraturan ditetapkan kerajaan ketika berada di rumah.

"Terima kasih kepada semua pihak terutama UUM yang bertungkus-lumus menjaga keselamatan dan kebajikan penuntut yang masih berada di kampus sepanjang tempoh PKP," katanya.

Berkongsi kegembiraan sama adalah Muhammad Fikri Burhan, 22, yang bersyukur dapat pulang bertemu keluarga selepas kerajaan membenarkan mereka pulang.

"Saya tidak sabar menanti saat berbuka puasa dan bersahur bersama keluarga di Bidor, Perak.

"Kami berjanji akan mengikut semua peraturan dan prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan," katanya.

Semalam, Naib Canselor Universiti Utara Malaysia (UUM), Prof Datuk Dr Ahmad Bashawir Abdul Ghani, memaklumkan 60 penuntut dibenarkan pulang ke Lembah Klang hari ini.

Mereka adalah antara 3,000 penuntut yang dibenarkan pulang ke rumah masing-masing secara berperingkat.

  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan
  • Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 28 April 2020 @ 11:59 AM