AYOB Khan melihat dadah dan duit yang dirampas dalam tiga serbuan berjaya menahan 12 suspek di sekitar Pengerang. FOTO MOHD AZREN JAMALUDIN
AYOB Khan melihat dadah dan duit yang dirampas dalam tiga serbuan berjaya menahan 12 suspek di sekitar Pengerang. FOTO MOHD AZREN JAMALUDIN
Nurul Amanina Suhaini


SATU sindiket penyeludupan dadah didalangi lelaki dikenali Datuk Ajim ditumpaskan polis susulan tiga serbuan berasingan di Kota Tinggi, pada Khamis dan Jumaat lalu.

Ketua Polis Johor, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay, berkata selain lelaki tempatan berusia 47 tahun itu turut ditahan adalah dua anaknya iaitu lelaki berusia 18 tahun dan perempuan berusia 17 tahun.

Katanya, hasil siasatan lanjut, dalang sindiket itu turut dipercayai mengusahakan perniagaan bengkel kenderaan dan bertindak dalam penyeludupan dadah syabu ke negara Indonesia, selain semakan mendapati suspek itu mempunyai pelbagai rekod jenayah lampau berkait jenayah serta dadah.

"Dalam serbuan pertama, Pasukan Polis Marin (PPM) Wilayah Dua Pengerang bersama Team Task Force COVID-19/Covid-19 Balai Polis Pengerang Kota Tinggi menjalankan serbuan jam 5.05 petang, Khamis lalu di sekitar Pengerang.

"Serbuan berjaya menahan seorang lelaki manakala dua lelaki lagi melarikan diri dengan menaiki bot. Bagaimanapun, dua lelaki itu berjaya ditahan selepas berlaku aksi berkejaran kira-kira 15 minit di pantai Kampung Langkah, Kota Tinggi jam 6.40 petang.

"Tiga suspek tempatan berusia 19 hingga 33 tahun ditahan dan dadah disyaki jenis syabu seberat 4,224 gram bernilai RM168,960 dirampas, selain dua daripadanya mempunyai rekod kesalahan lampau berkait jenayah dan dadah," katanya.

SEBAHAGIAN dadah dan duit yang dirampas dalam tiga serbuan di sekitar Pengerang. FOTO MOHD AZREN JAMALUDIN
SEBAHAGIAN dadah dan duit yang dirampas dalam tiga serbuan di sekitar Pengerang. FOTO MOHD AZREN JAMALUDIN

Ayob berkata, pada Jumaat lalu, serbuan susulan yang dijalankan Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor bersama Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Tinggi menahan lapan individu tempatan berusia 17 hingga 47 tahun.

"Kesemua suspek ditahan dalam serbuan ke atas sebuah rumah kira-kira jam 4.15 pagi, selain rampasan turut merangkumi 753 gram dadah disyaki jenis syabu, 192 gram dadah disyaki heroin dan 175 pil yaba dengan nilai keseluruhan RM124,300," katanya pada sidang media di IPK Johor hari ini.

Beliau berkata, kesemua suspek serbuan kedua direman selama tujuh hari bermula 25 April sehingga 1 Mei depan untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.

Katanya, pada serbuan ketiga, Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik IPK Johor membuat serbuan di sekitar Bayu Damai, Kota Tinggi sebelum menahan seorang wanita tempatan berusia 33 tahun dipercayai terbabit dalam kegiatan sindiket itu, selain ujian saringan air kencing mendapati suspek positif dadah jenis methamphetamine.

Dalam perkembangan lain, Ayob Khan berkata, bermula 1 Januari hingga 26 April lalu, Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Johor berjaya membuat tangkapan seramai 5,705 orang atas pelbagai kesalahan dadah.

"Dalam tempoh sama, polis berjaya membuat rampasan dadah sebanyak 333.68 kilogram, selain keseluruhan dadah yang dirampas adalah bernilai RM6.77 juta dan turut disita adalah harta bernilai RM4.17 juta," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 27 April 2020 @ 6:06 PM