PETUGAS barisan hadapan KKM menjalankan ujian saringan kepada penduduk Selayang Baru susulan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD). FOTO ASWADI ALIAS.
PETUGAS barisan hadapan KKM menjalankan ujian saringan kepada penduduk Selayang Baru susulan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD). FOTO ASWADI ALIAS.
BERNAMA

PERSATUAN Perubatan Malaysia (MMA) menggesa orang ramai agar menghentikan diskriminasi terhadap petugas penjagaan kesihatan dengan mengasingkan golongan itu atas alasan bagi mencegah penularan wabak Covid-19.

Presiden MMA, Dr N Ganabaskaran berkata, persatuan itu memandang serius insiden menyaksikan pengurusan sebuah kondominium di Petaling Jaya mengasingkan satu daripada tiga lif untuk petugas perubatan dan perkhidmatan penting bagi melindungi penduduk lain daripada dijangkiti Covid-19.

"Amalan diskriminasi seperti ini bermula apabila pengurusan kondominium itu mendapat tahu penghuninya yang merupakan seorang petugas penjagaan kesihatan telah didiagnosis dengan Covid-19.

"Petugas itu yang bekerja di sebuah pusat penjagaan kesihatan awam dimasukkan ke hospital selepas didiagnosis dengan Covid-19 pada akhir Mac, bagaimanapun, pengurusan kondominium hanya dimaklumkan mengenai perkara itu pada pertengahan April oleh seorang penghuni," menurutnya dalam kenyataan media di Kuala Lumpur, hari ini.

Beliau berkata, kawasan umum sekitar kondominium itu kini kerap dibersihkan manakala suhu badan penduduk serta penghuni diambil semasa memasuki premis itu.

"Baru-baru ini, pengurusan kondominium itu mengambil tindakan lebih tegas dengan menetapkan satu daripada lif untuk petugas perubatan dan perkhidmatan penting dan lif itu perlu dikendalikan secara manual, tanpa panel akses pas penduduk.

"Amalan diskriminasi seperti ini membuktikan wujud masalah serius berkaitan maklumat salah dalam kalangan orang awam.

"Pengasingan penduduk bagi kemudahan dikongsi bersama seperti lif adalah tidak wajar dan berbaur diskriminasi terhadap petugas penjagaan kesihatan kita. Terasa seperti ada pihak mengambil tindakan berlebihan daripada apa diperlukan sebagai langkah berjaga-jaga susulan kebimbangan yang melampau dan ini adalah satu daripada contohnya," katanya.

Beliau berkata, sehubungan itu, MMA menggesa pihak berkuasa menyiasat amalan diskriminasi terhadap pekerja penjagaan kesihatan dan mengambil tindakan sewajarnya.

Menurutnya, kementerian berkaitan seharusnya meningkatkan usaha menangani semua isu membabitkan kebimbangan dan maklumat salah dalam kalangan orang ramai bagi mengelak kejadian serupa berulang.

Katanya, nasihat Kementerian Kesihatan (KKM) adalah mudah dan konsisten sejak mula menguruskan situasi Covid-19 di negara ini.

"Elak bersesak, kerap mencuci tangan dengan sabun, sentiasa mensanitasi tangan anda, sentiasa menyahkuman permukaan kerap disentuh dan mengamalkan penjarakan sosial antara satu hingga dua meter daripada orang lain di tempat awam.

"Semasa PKP (Perintah Kawalan Pergerakan), elakkan lawatan di luar rumah yang tidak penting dan duduk sahaja di rumah. Jika semua langkah pencegahan ini dilakukan, tidak perlu rasa bimbang," katanya.

Dr Ganabaskaran berkata, KKM melakukan tugasan cemerlang dalam menangani situasi Covid-19 seperti yang boleh dilihat daripada kemajuan dicapai bagi mengurangkan jumlah jangkitan dan penularan di negara ini.

Katanya, orang awam perlu mendengar nasihat KKM, mengambilnya dengan serius dan hanya menerima maklumat disahkan daripada sumber boleh dipercayai serta bereputasi baik.

  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 25 April 2020 @ 11:46 PM