MOHD Fahrul Razzy (kiri sekali) berbuka puasa bersama anggota keselamatan. FOTO Ahmad Ismail
MOHD Fahrul Razzy (kiri sekali) berbuka puasa bersama anggota keselamatan. FOTO Ahmad Ismail
Ahmad Ismail


PASTIKAN aplikasi menentukan arah kiblat yang digunakan tidak tersasar dari arah kiblat sebenar menghadap Kaabah di Makkah.

Pegawai Bahagian Agama Dan Kaunseling (BAKA), Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Segamat, Mohd Fahrul Razzy Mohd Salleh berkata, aplikasi penunjuk arah kiblat yang dimuat turun ke dalam telefon bimbit, dilihat banyak membantu dan memudahkan anggota keselamatan menunaikan solat tanpa mengira di mana mereka berada.

"Tidak jadi halangan jika anggota polis ingin menggunakan aplikasi itu sebagai panduan bersolat di sekitar lokasi bersesuaian sewaktu rehat tugasan sekatan jalan raya (SJR).

"Panduan arah panduan bersolat terawih secara bersendirian kini umpamanya bermanfaat ketika Ramadan," katanya ditemui ketika berbuka puasa berhampiran khemah di sekatan jalan raya (SJR) di Segamat, hari ini.

Katanya, bagaimanapun, pastikan aplikasi terbabit tidak tersasar dari arah kiblat sebenar, sekali gus menimbulkan persoalan dan kecurigaan terhadap ketepatannya.

"Banyak aplikasi yang boleh dimuat turun mengikut kesesuaian pengguna. Memudahkan mengetahui waktu berbuka dan solat fardu," katanya

"Selain membantu pengguna mencari kiblat dan masjid terdekat, aplikasi percuma itu lengkap dengan kaunter zikir, doa, pengertian 99 nama Allah dan waktu solat.

"Banyak juga aplikasi sama bersesuaian yang ditawarkan secara percuma kerana semuanya hanya di hujung jari, namun pastikan ia betul," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 24 April 2020 @ 10:59 PM