GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Nur Izzati Mohamad


MENGGUNAKAN kad petugas kesihatan ibunya untuk melepasi sekatan jalan raya (SJR) menyebabkan seorang lelaki ditahan di Plaza Tol Bertam, Kepala Batas, petang semalam.

Dalam kejadian jam 4.45 petang itu, lelaki berusia 25 tahun yang memandu seorang diri melalui SJR di laluan khas dengan mempamerkan kad petugas kesihatan.

Bagaimanapun, pemeriksaan mendapati kad itu bukan miliknya tetapi kepunyaan ibunya yang bertugas di Hospital Seberang Jaya (HSJ).

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara, Asisten Komisioner Noorzainy berkata, polis menahan lelaki itu kerana didapati menyamar sebagai penjawat awam dan menyalahgunakan kad berkenaan.

“Lelaki itu memaklumkan bahawa ingin mengambil ibunya di hospital namun tindakannya menyalahi undang-undang.

“Oleh itu, lelaki terbabit ditahan untuk tindakan mengikut Seksyen 170 Kanun Keseksaan kerana menyamar sebagai penjawat awam,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, lelaki itu juga turut akan disiasat mengikut Seksyen 269 Kanun Keseksaan dan Peraturan (11) 1 Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 2020.

Sementara itu, Noorzainy berkata, polis menahan seramai 13 individu berusia 20 hingga 30 tahun kerana mengingkari Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dalam operasi yang diadakan semalam.

Daripada jumlah yang ditahan, sebahagiannya didapati mempunyai rekod jenayah lampau.

Mereka ditahan ketika rondaan kali kedua dibuat di tempat sama selepas tidak mengendahkan nasihat yang diberikan polis.

  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan
  • Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 23 April 2020 @ 12:26 PM