KERJA merobohkan premis kolam ternakan ikan keli diketuai oleh Pejabat Daerah dan Tanah (PDT) Gombak. FOTO ihsan LUAS
KERJA merobohkan premis kolam ternakan ikan keli diketuai oleh Pejabat Daerah dan Tanah (PDT) Gombak. FOTO ihsan LUAS
Norzamira Che Noh


PREMIS kolam ikan yang menyebabkan empat Loji Rawatan Air (LRA) di Selangor terpaksa dihenti tugas pada 16 April lalu dirobohkan dalam satu operasi bersepadu pada 20 April lalu.

Lembaga Urus Air Selangor (LUAS) dalam kenyataan memaklumkan operasi bersepadu yang diketuai oleh Pejabat Daerah dan Tanah (PDT) Gombak itu bertindak merobohkan tiga struktur iaitu bangsal pengumpulan ikan, stor simpanan barang dan tempat pemprosesan ikan.

“Terdapat kira-kira 15 kolam penternakan ikan keli dibina oleh premis berkenaan tetapi hanya 14 kolam yang masih aktif.

“Justeru, LUAS mengeluarkan Perintah Perlindungan Sumber Air di bawah Seksyen 122, Enakmen LUAS 1999 kepada pemilik premis untuk melaksanakan kerja kawalan pencemaran dan pemulihan di tapak kolam ikan dalam tempoh lapan hari bermula semalam,” katanya.

Menurut kenyataan itu, LUAS dan Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor) akan memantau rapi kerja pemulihan kualiti air kolam di tapak yang akan membabitkan rawatan melalui kaedah pencairan air kolam dan menggunakan karbon aktif (AC).

Katanya, buat masa ini keadaan di kawasan terbabit terkawal dan tiada pencemaran berlaku berikutan LUAS sudah menempatkan pegawai RELA bagi tempoh 24 jam bersama penguat kuasa.

Kenyataan itu turut memaklumkan, PDT Gombak pada 18 April lalu, sudah mengeluarkan arahan mengikut Seksyen 425, Kanun Tanah Negara 1965 kepada pemilik premis di atas kesalahan menduduki tanah kerajaan tanpa kebenaran yang sah.

“Susulan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang sedang berkuat kuasa serta musim perayaan yang bakal tiba, kesemua agensi terbabit sudah sedia dan siap siaga untuk menangani insiden pencemaran dengan segera dan berusaha untuk mengelakkan gangguan bekalan air kepada pengguna,” katanya

Selain daripada PDT Gombak serta LUAS, operasi berkenaan turut disertai Majlis Perbandaran Selayang (MPS), Unit Pengurusan Bencana Negeri Selangor (UPBN), Pengurusan Air Selangor, Jabatan Alam Sekitar (JAS) dan Polis DiRaja Malaysia (PDRM).

Terdahulu pada 16 April lalu, empat LRA iaitu LRA Sungai Selangor Fasa 1, Fasa 2, Fasa 3 dan Loji Rantau Panjang terpaksa dihenti tugas pada jam 11 malam susulan pencemaran bau.

Hasil siasatan kemudian mendapati kolam ternakan ikan keli yang beroperasi secara haram di sebuah kawasan di Hulu Selangor dipercayai menjadi punca pencemaran bau pada sumber air mentah di Sungai Selangor.

Berita berkaitan

Bekalan air pulih di 1,132 kawasan [METROTV]

Kolam ternak ikan keli akan diroboh

Kolam ikan keli punca pencemaran

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 23 April 2020 @ 10:28 AM