Ketua Polis Kedah, Datuk Zainuddin Yaacob menerima sumbangan daripada Naib Canselor UUM, Prof Datuk Dr Ahmad Bashawir Abdul Ghani di Ibu Pejabat Polis Kontijen (IPK) Kedah. FOTO AMRAN HAMID
Ketua Polis Kedah, Datuk Zainuddin Yaacob menerima sumbangan daripada Naib Canselor UUM, Prof Datuk Dr Ahmad Bashawir Abdul Ghani di Ibu Pejabat Polis Kontijen (IPK) Kedah. FOTO AMRAN HAMID
Zuliaty Zulkiffli


SERAMAI 4,200 penuntut Universiti Utara Malaysia (UUM), Sintok yang terkandas di kampus sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) menunggu kebenaran kerajaan untuk pulang ke kampung halaman masing-masing.

Naib Canselor UUM, Profesor Datuk Dr Ahmad Bashawir Abdul Ghani berkata, mereka yang berada di kampus sejak sebulan lalu menyatakan kerinduan terhadap keluarga dan mahu pulang jika dibenarkan berbuat demikian.

Menurutnya, pihaknya yakin kerajaan akan membenarkan mereka pulang ke kampung halaman masing-masing dalam tempoh terdekat.

“Namun, semuanya bergantung pada keadaan semasa dan kami bersedia untuk membantu semua penuntut yang masih berada di kampus.

“UUM akan menyediakan bas untuk membawa penuntut dari pantai timur pulang ke negeri berkenaan, manakala penuntut Sabah dan Sarawak pula akan dihantar ke lapangan terbang,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kedah di Alor Setar, hari ini.

Terdahulu, Ahmad Bashawir menyampaikan sumbangan 200 penutup muka dan hidung, cecair pembasmi kuman dan makanan kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Sumbangan diserahkan kepada Ketua Polis Kedah, Datuk Zainuddin Yaacob.

Selain itu, Ahmad Bashawir turut menyampaikan sumbangan sama kepada pengamal media di negeri ini yang menyalurkan maklumat untuk menangani virus berkenaan.

  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan
  • Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 22 April 2020 @ 9:02 PM